Yonex: Kisah Kegigihan Tukang Kayu Menjadi Pengeluar Raket Terkemuka

Leo Maestro 1 minggu yang lalu

Yonex bukanlah nama yang asing lagi di bibir peminat sukan dunia terutama sekali badminton. Namun selain daripada raket, Yonex juga pembuat barangan golf, bola tenis, kasut, dan bermacam-macam lagi.

Sejarah

Pada 1946, usahawan Minoru Yoneyama membuka perusahaan berasaskan kayu di Niigata. Beliau mengeluarkan barangan untuk kegunaan nelayan yang berasaskan kayu.

Namun begitu, selepas perkembangan jala nilon dan juga industri pembuatan plastik yang semakin berkembang, Minoru merasakan perniagaan beliua semakin terancam.

Beliau telah pergi menjelajah ke beberapa wilayah di Jepun untuk mencari idea perniagaan yang baru. Beliau tetap mahu bidang itu ada kaitan dengan kepakaran beliau iaitu berasaskan kayu.

Selepas menjelajah ke sana sini, Minoru merasakan,  selepas perang dunia kedua, sukan badminton semakin berkembang pesat di Jepun.

Sukan ini boleh dimainkan di dalam dewan, di taman permainan dan di mana sahaja. Beliau kemudian menjalinkan kerjasama dengan syarikat pengeluar raket bernama Sanbata pada 1957.

Menceburi Pembuatan Raket

Sanbata setuju untuk menjadikan Minoru sebagai kontraktor kecil yang memproses raket mereka. Selepas setahun menjadi kontraktor kecil kepada Sanbata, Minoru berazam untuk memiliki syarikat pengeluar raket sendiri.

Lalu, pada 1958, Minoru menubuhkan syarikat beliau sendiri bernama Yoneyama Company Ltd. Namun ianya masih bernaung di bawah Sanbata sebagai ‘ibu’ kepada syarikat.

Gambar Pekerja Sanbata

Raket murah beliau mendapat sambutan hangat dan Yoneyama dianugerahkan dengan Anugerah Syarikat Kecil Terbaik pada 1960 oleh kerajaan Jepun.

Pada tahun berikutnya, Sanbata berhadapan dengan risiko muflis. Minoru memutuskan untuk keluar daripada Sanbata dan mewujudkan perusahaan ‘independent’ yang lebih besar di bawah jenama Yoneyama.

Beliau kemudiannya menubuhkan pejabat urusan di Tokyo untuk memudahkan urusan perniagaan. Beliau sudah melihat akan potensi syarikat ini pergi lebih jauh ke peringkat global.

Tokyo adalah ibu negara Jepun dan segalanya serba maju di sana termasuk perhubungan dan juga urusan perkapalan. Pada 1962, Yoneyama pun berpangkalan di Tokyo.

Mereka berjaya mengeluarkan 2 model raket pertama mereka iaitu B-1000 dan B-2000 di bawah label mereka sendiri bukannya Sanbata.

Model B-2000 menjadi kegilaan remaja ketika itu. Ia dianggap bergaya dengan warna yang menarik.

Terus Maju

Pada 1963 mereka meluaskan pernigaan ke peringkat antarabangsa. Mereka mengeksport raket ke negara-negara lain.

Tahun yang sama, kilang pembuatan raket mereka di Niigata terbakar. Mereka cepat-cepat memperbaikinya semula dalam masa 3 hari untuk memastikan permintaan di pasaran antarabangsa dapat dipenuhi.

Usaha mereka ini membuatkan Yoneyama ataupun Yonex pada hari ini menjadi syarikat yang dipercayai pelanggan. Kualiti raket mereka dan sikap menepati masa mereka diberikan publisiti meluas termasuk di luar negara.

Semakin ramai yang memesan raket daripada mereka. Lalu pada pertengahan 60-an, mereka menjadi syarikat raket no.1 di Jepun.

Mereka mulai menembusi pasaran Eropah dan Amerika Syarikat. Raket mereka Laris!

Menjadi Yang Terbaik

Pada 1964, Yoneyama Company, Ltd. mencatatkan keuntungan lebih 100 juta yen ataupun RM3.76 juta pada ketika itu, ia angka sangat besar.

Yoneyama kemudian berhadapan dengan persaingan daripada raket luar negara yang memasuki pasaran di Jepun.

Lalu pada 1965, Minoru memutuskan untuk mereka menghasilkan bulu tangkis jenama mereka sendiri selain daripada raket.

Pada 1966, pekerja mereka, Masao Akiyama telah menjuarai All England dengan raket keluaran Yoneyama.

Dari Kayu Kepada Aluminium

Raket tradisional di Jepun menggunakan kayu. Manakala raket dari barat menggunakan steel. Minoru tidak mahu ketinggalan! Mereka melancarkan raket steel pertama mereka, raket tenis Alumina Ace pada 1968.

Yoneyama meluaskan pasaran ke Asia Tenggara dengan perkembangan pesat sukan itu di sini, dan menubuhkan cawangan pengedar rasmi mereka di Singapura.

Mereka terus meningkatkan pengeluaran bulu tangkis dalam skala lebih besar. Selepas melihat persaingan raket steel yang semakin kuat.

Minoru kemudiannya mendapat idea untuk menghasilkan raket menggunakan aluminium. Ianya sangat ringan dan dapat membantu meningkatkan prestasi pemain di dalam gelanggang.

Lalu Yonex mengeluarkan raket aluminium pertama mereka dengan teknologi T-Joint. Yonex memasarkan raket aluminium mereka yang laris di pasaran USA pada 1971.

Yonex

Pada 1974, Yoneyama menjenamakan semula syarikat mereka kepada Yonex untuk kesemua entiti perniagaan di bawah label mereka.

Mereka memulakan era Yonex dengan keluaran raket tenis Yonex Graflex dan T-9000. Mereka terus mengeluarkan jenama raket tenis yang juga besst seller di dunia ketika itu, iaitu Carbonex TS-7000.

Pada 1977, Yonex mengeluarkan raket pertama dengan teknologi glass fibre, Carbonex 7.

Tidak lama selepas itu mereka menjadi pengeluar pertama yang mengasilkan raket di bawah berat 100g iaitu B-8500 dan Carbonex 8.

Terus Kekal Cemerlang

Yonex tidak menoleh ke belakang lagi. Pada era 80-an mereka menguatkan empayar perniagaan dengan mengeluarkan barangan untuk sukan golf dan yang lain-lain.

Logo yang ada pada hari ini adalah logo yang mereka mula gunakan pada 1998. Mereka telah menjadi kuasa dalam peralatan sukan badminton.

Pemain seperti Lee Chong Wei, Lin Dan, Taufik Hidayat, dan ramai lagi adalah atlet yang percaya dengan jenama ini. Antara siri raket Yonex yang menjadi kegilaan ramai adalah Voltric Z-Force II, Voltric 80 E-tune, Nanoray Z-Speed, Arcsaber i-Slash Nanoray 900, Arcsaber 9FL, Duora,  Carbonex 8000N, Nanoray 800, dan banyak lagi.

Itulah kisah seorang usahawan bernama Minoru yang sentiasa bergerak seiring dengan zaman. Beliau tidak mendap di satu zon selesa.

Sikap beliau yang mengutamakan kepuasan pengguna dan boleh dipercayai telah meresap masuk ke dalam syarikat dan pekerja-pekerja beliau.

Jangan kata anda tak tahu apa itu Yonex.


SHARE ()