Yao Ming, Legenda NBA Dari China Yang Disayangi Peminat

Leo Maestro 2 tahun yang lalu

Yao Ming adalah satu nama yang tidak disangka-sangka akan menjadi atlet dan selebriti baru di Amerika Syarikat. Ini berlaku apabila beliau menyertai Houston Rockets.

Yao Ming lahir pada 12 September 1980 di Shanghai. Yao Ming adalah anak tunggal dalam keluarga beliau. Ayahnya Yao Zhiyuan dan ibunya Fang Fengdi juga merupakan atlet bola keranjang profesional di China. Mereka aktif bermain pada era 1970-an.

Ibunya menceritakan bagaimana sukar mereka membesarkan Yao Ming yang memiliki selera makan yang kerana di tempat mereka seringkali kekurangan makanan.

Ibu dan ayahnya terpaksa mencari makanan daripada pekan lain untuk memastikan Yao Ming cukup makan. Yao Ming sangat besar berbanding dengan kanak-kanak lain sebaya dengan beliau.

Karier Awal

Ketika berada di gred ke-3, beliau sudah 5 kaki dan 7 inci. Selepas melihat tingginya yang luar biasa, Yao Ming dimasukkan ke dalam sekolah sukan di Shanghai.

Ketika bersekolah, Yao Ming bukanlah penggemar bola keranjang. Cita-cita beliau adalah mahu menjadi tentera. Semakin membesar, Yao Ming lebih tinggi daripada ayahnya pada usianya 17 tahun.

Selepas itu, Yao Ming menyertai kelab bola keranjang remaja Shanghai Sharks.

Dengan fizikal dan baka yang diwarisi, Yao Ming terus menjadi pemain remaja elit walaupun bermula agak lewat untuk serius dalam sukan ini. Beliau akhirnya dipilih menyertai pasukan Olimpik China.

Pada 1998, Nike telah menjemput Yao Ming untuk beraksi dalam beberapa perlawanan pertunjukan di sana. Dan tidak lama selepas itu, beliau telah menjadi bintang bola keranjang China kerana aksi cemerlang dalam Shanghai Sharks dan juga pasukan kebangsaan.

Yao Ming menerima tawaran daripada NBA yang menawarkan cek bayaran sejuta dollar. Pada ketika itu, isu pemasaran dan publisiti juga memainkan peranan penting dalam usaha membawa Yao Ming ke AS pada 1999.

Namun begitu, kelab lama beliau, Shanghai Sharks telah meminta bahagian yang besar dalam perjanjian Yao Ming. Ia melanggar syarat NBA.

Kerajaan China juga enggan melepaskan Yao Ming ke AS kerana Yao Ming sedang dipersiapkan untuk sukan Olimpik Sydney 2000.

Yao Ming berjaya menunjukkan aksi menakjubkan ketika di Sydney. Yao Ming beraksi cemerlang bersama-sama Menk Batere dan Wang Zhizhi.

China tewas di tangan AS 119-72. Selepas aksi cemerlang beliau, Yao Ming berjaya berada dalam senarai NBA Draft pada 2001.

NBA Draft adalah merujuk kepada pemain-pemain remaja yang berpotensi untuk bermain dalam NBA. Mereka haruslah berusia 19 tahun ke atas.

Biasanya, draf ini adalah senarai daripada pemain-pemain kolej yang cemerlang di AS. Namun Yao Ming telah menjadi pemain dari luar AS yang pertama berada dalam senarai no.1 dalam draf tersebut.

Jadi, beliau ketika itu sudah boleh mengharap dan menantikan panggilan daripada NBA. NBA telah meluaskan pencarian bakat baru ke luar AS untuk tujuan promosi kepada sukan tersebut.

Untuk negara di luar AS, liga kolej yang kompetitif itu tidak ada, jadi pemilihan pemain muda dari NBA Draft ini lebih kepada pemain muda yang sudah beraksi dalam skuad kebangsaan.

Namun Yao Ming tidak berjaya menyertai NBA seperti rakannya Batere yang menyertai Denver Nuggets. Mungkin peraturan NBA Draft untuk pemain yang bukan daripada kolej AS perlu berusia 22 tahun ke atas atas status rookie.

Yao Ming terus beraksi untuk Sharks dan ditawarkan kontrak lumayan $20,000 semusim dan membantu pasukan itu menang CBA Championship pada 2002.

NBA datang kepada beliau sekali lagi. Akhirnya CBA memberikan restu Yao Ming ke NBA dan meminta bahagian kecil daripada jumlah kontrak tahunan Yao Ming.

Legenda Houston Rockets

Houston Rockets telah memenangi Yao Ming daripada NBA Draft 2002 dan Yao Ming menandatangani kontrak 4 tahun dengan mereka.

Kontrak bernilai keseluruhan $18 juta. 5% daripada jumlah kontrak itu diberikan kepada CBA.Beliau menjadi pemain kebangsaan pertama bermain dengan NBA atas tiket NBA Draft.

Kemasukan Yao Ming ke NBA ternyata memberikan kesan publisiti yang sangat kuat sama ada kepada NBA, Houston Rockets dan juga China.

Pada musim pertama sebagai rookie, Yao Ming telah menunjukkan aksi luar biasa. Jadi, beliau berjaya menepis tag yang mengaitkan beliau hanya untuk pemasaran.

Pada 17 November 2002, ketika menentang  Los Angeles Lakers, Yao Ming menjaringkan 20 mata dengan 9/9 percubaan disempurnakan.

Pada akhir tahun 2002, beliau dinamakan Western Conference’s Rookie Of The Month – December 2002. Beberapa minggu selepas itu, beliau mengejutkan ramai apabila mendahului carta undian pemain tengah terbaik pilihan penyokong mengatasi Shaquille O’Neal.

O’Neal ketika itu nampak terancam dengan publisiti Yao Ming dan melancarkan serangan verbal. Media menggelarnya Shaq attack. Beliau telah mengajuk bahasa cina Yao Ming. Namun Yao Ming tenang membalas:

“Tak apalah, saya pun dulu susah nak cakap cina bila masih kecil.”

Gentle Giant

Yao Ming kemudian memperbaiki Bahasa Inggeris beliau dan dia sendiri tampil yakin bercakap dengan media lebih kerap. Beliau mulai digelar “Gentle Giant” dan menjadi idola penyokong di Houston kerana keperibadiannya yang lembut dalam tutur kata dan tidak mudah melatah.

Ketika musim pertama beliau menjadi rookie, tiket bermusim di Compaq Center telah dijual habis. 2,000 lebih banyak daripada musim sebelum itu. Yao Ming terus menjadi buruan syarikat gergasi untuk mendapatkan publisiti beliau.

Dengan imej beliau yang bersih dan disukai peminat, beliau berjaya menarik tajaan Apple Computer, Visa dan kemudian perjanjian mega $100 juta dengan Reebok. Ia kekal menjadi perjanjian paling besar Reebok dengan atlet sukan setakat ini.

Di China, beliau terus menjadi kuasa publisiti yang besar termasuk dengan jenama Yanjing dan China Unicom.

Pada musim 2003, beliau meneruskan musim cemerlang dengan 17.5 mata untuk setiap perlawanan dan 9 rebound untuk setiap perlawanan.

Beliau menjaringkan mata paling tinggi dalam karier ketika menentang Atlanta Hawks pada Februari 2004 dengan 41 mata. Beliau membantu Rockets mara ke NBA playoffs tetapi tewas di tangan LA Lakers.

Di kalangan rakan-rakan sepasukan, beliau dipanggil Dinasti Ming. Merujuk kepada dinasti agung di China bernama Dinasti Ming.

Bekas rakan sepasukan beliau, Moochie Norris kagum dengan kemahiran hantaran Yao Ming.

“Apabila dia suruh kamu bersedia dan menjerit nama kamu. Kamu akan melihat bola sampai kepada kami tak kira sukar dan sempit macamana pun situasi.”

Beliau terus berkhidmat untuk negaranya dan bermain dalam Sukan Olimpik Athens 2004. Beliau dipilih sebagai pemegang bendera untuk kontinjen China. Beliau sekali lagi menjadi atlet tertinggi dalam temasya olimpik.

Dalam NBA hanta Shawn Bradley yang lebih tinggi daripada beliau dengan 7 kaki 6 inci. Kerana pengaruh Yao Ming, perlawanan Rockets pernah ditonton 14 juta penonton di China.

Beliau juga diarak oleh penyokong beliau setiap kali kembali ke tanah air. Peter Hessler menceritakan yang Yao Ming seorang yang sangat sayangkan negaranya.

Beliau sentiasa mahu pulang ke China bila sahaja ada peluang berbanding dengan beberapa atlet NBA lain yang lebih mendambakan malam pesta di Vegas. Hessler juga mendedahkan yang Yao Ming sentiasa mahu menjadi popular suatu hari nanti.

“Tetapi dia dahulu mahu popular sebagai saintis ataupun ahli politik. Tapi sekarang, siapa kisah, dia pun tetap popular sebagai pemain bola keranjang.”

Yao Ming terlalu sayangkan Houston Rockets. Beliau tidak pernah terfikir untuk menyertai pasukan NBA lain. Beliau menghargai apa yang kelab telah lakukan kepada beliau. Beliau bersara pada Julai 2011.

Pernah sekali dalam satu ucapan beliau, Yao Ming menceritakan tentang sekeping wang $1 dollar yang sentiasa dibawanya ke sana kemari.

“Dahulu, ketika musim pertama saya di sini. Rakan-rakan saya dan coach telah membuat satu kejutan sempena Tahun Baru Cina.”

“Saya mendapat satu angpau diisi $2 dollar di dalamnya. Ia adalah tradisi kami di China untuk hadiah. Saya masih simpan duit itu sehingga hari ini.”

“Kerana, setiap kali saya berjalan ke mana sahaja, apabila saya membuka dompet saya dan melihat wang itu, saya tahu yang ‘rumah saya’ sentiasa di sisi saya.”

Ucapan Yao Ming menyentuh perasaan ramai peminat ketika itu yang bertepuk tangan. Houston Rockets telah mengambil keputusan untuk merehatkan no.11 kepunyaan Yao Ming tanda penghargaan kepada legenda mereka itu.


SHARE ()