Xhaka Minta Ampun Dan Dedahkan Penyokong Arsenal Sendiri Punca Semua Ini

Kapten Arsenal, Granit Xhaka telah menjadi bualan hangat terutama sekali di kalangan penyokong Arsenal. Dalam aksi menentang Crystal Palace pada Ahad yang lalu, Xhaka telah mengeluarkan kata-kata kesat kepada penyokong Arsenal, ketika dikeluarkan.

Xhaka turut memberikan respon dengan meminta lebih ramai orang menge’boo’ beliau di dalam stadium serta menanggalkan jersinya.

https://youtu.be/qFbuBHZ1Z1w

Para penyokong Arsenal tidak suka dengan Xhaka yang disifatkan mereka anak emas Unai Emery. Walaupun kerap menjadi liabiliti kepada pasukan namun terus menjadi pilihan utama.

Malah, musim ini Unai Emery melantik Xhaka menjadi ketua pasukan untuk Arsenal selepas pemergian Laurent Koscielny.

Selepas insiden tegang pada aksi menentang Palace itu, para penyokong Arsenal menuntut permohonan maaf daripada Xhaka di atas perbuatannya keluar padang dengan cara sebegitu dan menganggalkan jersi Arsenal di hadapan semua orang.

Namun Xhaka berdiam diri tentang insiden itu. Unai Emery dalam sidang media selepas insiden itu menyatakan tindakan Xhaka adalah salah dan tidak sepatutnya berlaku.

Unai Emery turut menyifatkan para penyokong juga ada salahnya, melayan pemain sebegitu.

Beberapa hari selepas itu, dalam sidang media sebelum aksi menentang Liverpool, Unai Emery menyatakan beliau sudah bercakap dengan Xhaka tentang perkara itu dan menegaskan bahawa pemain itu harus bertanggungjawab di atas apa yang telah berlaku.

Semalam, Granit Xhaka menggunakan instagram beliau memohon maaf kepada penyokong Arsenal. Beliau juga menjelaskan sebab kenapa beliau bertindak sedemikian.

Xhaka dalam kenyataannya berkata: “Saya memerlukan sedikit masa selepas apa yang berlaku pada petang Ahad yang lalu. Saya memutuskan untuk memberikan penjelasan kepada anda semua, daripada memberikan respon segera selepas insiden itu.”

“Insiden ketika saya ditukar tempoh hari, membuatkan saya sangat kecewa. Saya sayangkan kelab ini dan sentiasa memberikan 100% di atas padang.”

“Namun, para penyokong tidak memahami perasaan saya. Mereka telah berterusan memberikan komen mengecam saya ketika di dalam perlawanan dan juga di media sosial, sepanjang minggu dan bulan yang lalu.”

“Itu telah membuatkan hati saya terluka.”

“Mereka mengecam dengan berkata, ‘kami akan patah – patahkan kaki kamu… kami akan bunuh isteri kamu … semoga anak kamu mendapat kanser.”

“Itu telah membuatkan saya mendidih dan makan hati ketika dikeluarkan pada hari Ahad lalu di dalam stadium.”

“Dalam situasi ini, saya telah terbawa-bawa dengan apa yang berlaku dan memberikan tindak balas yang tak sepatutnya kepada kelompok penyokong yang menyokong kelab kita, kepada pasukan dan kepada saya sendiri dengan tenaga yang positif.”

“Harapan saya adalah agar kita semua kembali semula ke situasi di mana kita semua saling hormat menghormati. Ingat kembali, sebab apa kita semua cintakan sukan ini. Marilah kita bergerak maju ke hadapan dengan positif, bersama – sama.”

Kenyataan Granit Xhaka itu turut dimuat naik semula oleh Arsenal menerusi twitter rasmi kelab.

Semoga keadaan kembali jernih di antara penyokong dan Granit Xhaka. Arsenal akan berhadapan dengan Wolves dalam aksi EPL pada Sabtu ini.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.