Wenger Mahu FIFA Ubah Peraturan Lontaran Ke Dalam Dengan Sepakan

Arsene Wenger telah mencadangkan empat perubahan drastik peraturan bola sepak. Antara yang beliau telah cadangkan kepada FIFA adalah peraturan offside yang sering didebatkan, dan juga sepakan yang menggantikan lontaran ke dalam.

Bekas jurulatih dari Perancis itu pernah mengendalikan Arsenal selama 22 tahun sehingga 2018, sekaligus menamatkan pengalaman 34 tahun di dalam bidang kejurulatihan dan pengurusan.

Walaupun tidak pernah mengumumkan secara rasmi beliau telah bersara sebagai pengurus, Wenger kini mencurahkan pengalamannya di dalam bola sepak bersama FIFA di unit pembangunan global.

Antara tugasan jurulatih berusia 70 tahun itu di FIFA ialah untuk membuat keputusan mengenai perubahan peraturan di dalam sukan bola sepak.

Untuk itu Wenger telah tampil dengan beberapa idea menarik untuk menjadikan perlawanan bola sepak lebih menarik.

Bercakap kepada L’Equipe dalam satu wawancara, Wenger mendedahkan perkara berikut:

“Buat masa ini anda akan offside jika sebahagian daripada badan yang boleh menjaringkan gol mendahului badan pemain pertahanan lawan.

“Saya mahu peraturan diubah kepada tiada offside selagi bahagian badan yang boleh menjaringkan gol masih sebaris dengan pemain pertahanan. Ini akan memberi kelebihan kepada pemain penyerang, kerana kecenderunga pemain pertahanan bermain di garis atas.

“Kami turut mempertimbangkan beberapa perkara lain. Bola melencong keluar dari sepakan sudut dan kemudian kembali ke dalam permainan akan dianggap sah. Ini akan memberikan lebih banyak peluang menjaringkan gol.

“Begitu juga untuk mewujudkan sepakan percuma yang boleh diambil terus oleh seseorang pemain secara terus (sentuh bola dan gelecek seperti hoki).

“Saya juga mahu peraturan lontaran ke dalam diubah. 5 minit sebelum perlawanan tamat, lontaran ke dalam boleh memberi anda kelebihan.

“Tetapi di dalam situasi ini (baki 5 minit perlawanan) anda akan berhadapan 10 pemain (yang akan bertahan) dalam permainan.

“Statistik membuktikan 8 daripada 10 lontaran pada situasi ini akan hilang penguasaan bola. Jika ianya diambil di bahagian padang anda, maka anda diberikan kebenaran untuk melakukan sepakan.”

Ianya bukan kali pertama Wenger yang turut pernah mengendalikan Monaco memberikan cadangan ini.

Cadangan tersebut turut pernah disampaikan pada tahun lalu dan dikatakan akan diuji pada Euro 2020. Namun demikian seperti VAR, ramai penyokong bola sepak melihat cadangan tersebut hanya akan memberikan lebih banyak isu di dalam bola sepak.

Sepakan percuma terus oleh seorang pemain dan membenarkan pemain sama terus melarikan bola buat masa ini tampak berkesan di dalam sukan hoki, dan ia nampak menarik.

Wenger turut mengulas corak permainan yang membenarkan pemain pertahanan melakukan hantaran di dalam kotak penalti selepas menerima bola terus dari sepak mula oleh penjaga gol.

“Playmaker sebenar pada hari ini adalah penjaga gol. Daripada anda terus cepat-cepat mahu melakukan hantaran kepada kawasan lawan, peraturan ini membenarkan anda untuk mencipta ruang bermula dari kotak penalti sendiri.

“Ia mampu menghasilkan situasi bahaya kerana pasukan lawan juga akan melakukan pressing. Tetapi pada masa sama, pasukan lawan akan meninggalkan banyak ruang di belakang untuk dieksplotasi.

“Dan peaturan ini pada mulanya tampak biasa sahaja pada permulaan. Kini ia telah mengubah cara bola sepak dimainkan sepenuhnya.”

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.