Wayne Rooney Hantar Anak Ke Akademi Manchester City

Wayne Rooney kembali semula ke England selepas menamatkan karier di MLS. Beliau akan mula menjadi jurulatih merangkap pemain di Derby County.

Rooney yakin beliau masih ada keringat yang cukup untuk bermain di peringkat tertinggi dalam fasa akhir kariernya.

Wayne Rooney setuju dengan kontrak 18 bulan bersama dengan The Rams. Beliau pastinya mahu mengikut jejak Frank Lampard yang kini sudah berjaya menjadi salah seorang pengurus hebat di peringkat EPL.

Karier Rooney di Amerika Syarikat berakhir tanpa sebarang trofi dan perlawanan terakhir beliau kalah 1-5.

Namun secara peribadi beliau mencatatkan 23 gol, 15 assist dalam 48 penampilan. Beliau juga melakukan beberapa gol worldie ketika di sana.

Wayne Rooney merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman untuk Manchester United. Tetapi, berita yang kurang enaknya, Rooney dikhabarkan mahu menghantar anaknya, Kai, menyertai akademi Manchester City.

Kai Rooney sudah pun disambar Manchester City sejak 2016 lagi. Pada ketika itu Wayne Rooney masih bermain bersama Man United.

Anak Rooney itu yang berusia 9 tahun dianggap antara pemain cilik berbakat besar. Kai terpaksa meninggalkan Man City untuk mengikut ayahnya ke Amerika Syarikat sebelum ini.

Manchester City sudah memberitahu bahawa mereka sentiasa bersedia menerima semula kepulangan Kai Rooney ke dalam pasukan mereka.

Ianya pasti agak pelik melihat nama Rooney terpampang pada jersi Manchester City.

Namun begitu, ketika bergelar pemain United, Wayne Rooney pernah meminta untuk berhijrah ke Manchester City. Namun hasrat beliau dihalang oleh Sir Alex Ferguson.

Sir Alex Ferguson tak rela ‘anak emas’ beliau itu bermain untuk musuh sebandar beliau. Fergie sendiri pernah menyumpah Man City dengan kata kata: “Manchester City menjadi kelab atasan (elit)? Tidak dalam hayat saya.”

Fergie kemudian memujuk Rooney kekal dan menjadikan beliau pemain dengan gaji paling tinggi dalam EPL ketika itu.

Jadi, Kai, secara tak langsungnya, akan merealisasikan impian tak terlaksana oleh Wayne Rooney pada satu ketika dahulu.

Rooney melihat akademi Manchester City lebih baik dalam membangunkan bakat muda berbanding dengan Carrington.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.