Sejak semalam bertebaran di media sosial berita Wan Kuzain memilih untuk mewakili Malaysia. Ini selepas kenyataan oleh Presiden FAM, Dato Hamidin Mohd Amin yang mengesahkan pemain itu mahu bermain untuk Malaysia.
Hamidin memberitahu BERNAMA bahawa Wan Kuzain sudah menghubungi Datuk Ong Kim Swee bahawa beliau mahu menyarung jersi skuad B-22 kebangsaan.
Dan dalam kenyataan yang sama, Hamidin menyatakan Wan Kuzain bersedia untuk dipanggil oleh Tan Cheng Hoe bagi menguatkan barisan skuad senior kebangsaan.
Sebelum ini, dia (Wan Kuzain) tidak berminat tetapi baru-baru ini dia menyatakan hasratnya kepada Kim Swee untuk bermain.
Dipetik daripada sumber Harian Metro, Hamidin menjelaskan: “Jadi, kita tengah membuat persiapan untuk membawanya ke Malaysia bermain sama ada untuk pasukan Malaysia (Harimau Malaya) atau bawah 23 tahun.”
Beliau bekata demikian kepada pemberita selepas perasmian Ibu Pejabat Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) di Gelang Patah, semalam.
Ditanya sama ada persiapan itu boleh diselesaikan lebih cepat bagi membolehkan Wan Kuzain beraksi dalam perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 10 September ini, Hamidin berkata perkara itu tidak dapat dilaksanakan.
“Ini kerana proses (prosedur untuk membawa dia balik) ada. Jadi, memang tidak sempat. Namun begitu kita akan cuba untuk Sukan SEA kerana dia kini sedang bermain dalam saingan Major League Soccer (MLS) Amerika Syarikat.”
Wan Kamal jelaskan kekeliruan
Namun perkara itu telah mengundang reaksi Wan Kamal, iaitu ayah kepada Wan Kuzain.
Sebuah laman bola sepak, Vocket FC berjaya menangkap layar kome Wan Kamal tentang perkara itu. Wan Kamal jelas sekali tidak gembira dengan laporan media di Malaysia.
Ayah kepada pemain itu menjelaskan:
“Pembetulan (kepada berita Wan Kuzain pilih Malaysia), hala tuju Kuzain untuk terus bermain dengan kelab profesional beliau dekat US dan (mahu bermain untuk) USA dalam piala dunia, itu yang pasti.”
Kenyataan itu membuatkan ramai peminat bola sepak Malaysia terkedu.
Wan Kamal menjelaskan lagi:
“Dia cuma berminat bermain dengan skuad B-23 Malaysia dalam Sukan SEA. Lagipun ketika itu merupakan rehat musi MLS, yang sama dengan Sukan SEA.”
Pada rehat musim liga, adalah satu cabaran bagi mana-mana pemain untuk mengekalkan kecergasan mereka.
Dalam peraturan FIFA, seseorang pemain itu masih boleh menukar kewarganegaraan (berdasarkan pasukan diwakili dalam pertandingan FIFA), selagi-lagi mereka tidak mendapat debut dalam aksi kompetitif, bersama skuad senior.
Ini juga termasuk, perlawanan persahabatan dan perlawanan bukan kompetitif yang lain.
Perlawanan kelayakan Piala Dunia, dikira sebagai perlawanan kompetitif. Jadi, Wan Kuzain secara automatik akan menjadi pemain Malaysia seumur hidupnya, jika beliau melakukan debut dalam perlawanan itu.
Sukan SEA merupakan kejohanan bukan dalam kalendar FIFA dan ianya adalah kejohanan serantau.
Seterusnya, seorang pengguna Facebook menyatakan kegembiraan beliau mendengar berita itu, walaupun mendapat tahu Wan Kuzain hanya bermain untuk skuad Sukan SEA.
Dan Hafiezudin juga berkata:
“Mana tahu suatu hari nanti Kuzri (adik Wan Kuzain) akan memilih (skuad senior) Malaysia.”
Wan Kamal menjawab kenyataan itu dengan berkata:
“Kuzri baru masuk 17 tahun, bermain untuk pasukan akademi B-19 St Louis Professional Football Club.”
Wan Kamal juga menyatakan bahawa adik Wan Kuzain lebih berbisa daripada abangnya.
Akhir sekali, Wan Kamal menegaskan kesemua proses kepada perkara itu kini masih tergantung.
Kuzain masih menyimpan hasrat untuk menjadi pemain yang akan beraksi di Piala Dunia.
Selamat maju jaya kepada Wan Kuzain. Dan peminat bola sepak Malaysia sudah mendapat jawapan sebenar akan perkara ini.