Video: Saksikan Sepakan Percuma Melawan Gravity Hakan Calhanoglu Dari Jarak 45 Ela

Hari ini pada tujuh tahun yang lalu, Hakan Calhanoglu menjaringkan gol yang cukup cantik dan indah dari jarak 45 ela dan sehingga sekarang, sukar untuk melihat jaringan secantik itu lagi.

Hamburg melayan kunjungan Borussia Dortmund ke Volksparkstadion untuk aksi debut pengurus terbaru mereka Mirko Slomka.

Mereka ketika itu berjaya mengukuhkan kedudukan 2-0 sehingga minit ke-91 permainan sebelum bintang berusia 20 tahun, Calhanoglu memperkenalkan dirinya kepada dunia.

Berdiri berhampiran dengan bulatan tengah untuk mengambil sepakan percuma lalu melepaskan rembatan padu menewaskan Roman Weidenfeller yang ketika itu jelas tidak mampu buat apa-apa.

Bola rembatan beliau benar-benar padu bak peluru berpandu dengan junaman yang sungguh tepat menerjah jaring gawang gol Dortmund.

Bagaimana gol secantik ini tidak dicalonkan ke anugerah Puskas? Peminat pasti menyokong penuh andai gol ini dinobatkan sebagai gol tercantik pada ketika itu.

Gol tersebut membuatkan nama beliau mulai dikenal dan Calhanoglu berjaya menarik minat beberapa kelab besar Eropah.

Beberapa bulan selepas itu, beliau telah ditandatangani oleh Bayer Leverkusen dan melengkapkan perpindahannya pada awal musim berikutnya.

Peminat rata-rata masih kagum dengan jaringan tersebut dan Jurgen Klopp yang ketika itu merupakan pengurus Borussia Dortmund sendiri, hanya mampu tersenyum kagum melihat jaring gawang skuadnya dibolosi buat kali ketiga.

“Gol ini menjelaskan kepada semua tentang sesuatu yang mustahil menjadi tidak mustahil untuk dilakukan. Tepat sekali, jaringan begini cantik tidak mustahil boleh berlaku.”

“Pada pandangan pertama saya fikir kamu boleh mengkritik penjaga gol itu untuk gol ini, tetap ketika melihat cuplikan pada minit ke 1:25, ia menunjukkan bagaimana luar biasanya jaringan ini dihasilkan.”

“Sebelum ini tak ada siapa tahu kemampuan bola mati dia. Ternyata ia sangat bagus.”

“Sakit hati melihat BVB kalah, tapi rasa betul-betul kagum melihat jaringan secantik ini dari jarak jauh. Sungguh hebat Hakan. Ia masih mengagumkan saya setiap kali saya menontonnya.”

Begitulah antara puji pujian dari para peminat untuk Hakan Calhanoglu atas jaringan super cantik beliau itu.

Calhanoglu kemudian terus menjadi salah seorang pakar bola mati dan menjadi salah seorang pemain terpenting untuk gergasi Serie A, AC Milan.

Milan kini berada di kedudukan kedua dalam saingan liga dan salah satu impak terbesar sebalik kejayaan mereka ketika ini adalah kehadiran Zlatan Ibrahimovic ke dalam skuad.

Tahun lalu, Calhanoglu pernah mendedahkan kepada DAZN:

“Kesemua pengalaman dia membantu kami.”

“Zlatan mempunyai idea yang banyak tentang apa yang mahu beliau sampaikan kepada kami di atas padang. Kesemua pengalaman yang dia miliki membantu kami berbanding yang lain, kesudian dia untuk segalanya membantu kami menang. Ia bermula dari sesi latihan.”

“Zlatan mahu menang semua kejuaraan dan dia sangat bekerja keras, dia sungguh bercita-cita tinggi dan kalau kalah dia baran.”

“Zlatan tahu saya dan kualiti saya sebelum dia kembali ke sini. Dia selalu meminta saya untuk bermain lebih bebas, jangan banyak berfikir dan beri tumpuan sepenuhnya.”

“Dia juga selalu beritahu saya yang badan saya adalah pusat segalanya. Di atas padang saya cuma perlu tahu bagaimana dia bergerak dan dia tahu arah saya.”

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.