[VIDEO]: Pemain Baharu Man Utd Alex Telles Pernah Terciduk Dan Cedera Kerana Ambil Penalti

Manchester United merupakan pasukan yang sangat sinonim dengan sepakan penalti. Musim lalu skuad kendalian Ole Gunnar Solksjaer itu memperolehi 22 sepakan penalti di semua pertandingan.

Jumlah penalti yang diberikan kepada Man Utd itu adalah yang tertinggi di kalangan lima liga bola sepak utama di Eropah sejak Barcelona merekodkan 24 penalti pada musim 2015/16.

Manchester United juga mempunyai pemain yang boleh kita gelar sebagai Raja Penalti setelah ketibaan Bruno Fernandes dari Sporting Lisbon pada Januari lalu.

Pada musim lalu, Fernandes menyempurnakan 14 sepakan penalti untuk Sporting Lisbon dan juga Manchester United.

Dari tiga perlawanan Liga Perdana Inggeris yang telah dilalui setakat ini, United turut telah diberikan dua sepakan penalti – kedua-duanya disempurnakan oleh Fernandes – termasuk sepakan minit ke-100 perlawanan yang diselubungi kontroversi dalam kemenangan 3-2 ke atas Brighton.

Sebenarnya ada ramai pemain di dalam skuad Man Utd yang mampu mengambil peranan untuk mengambil penalti.

Sebelum ketibaaan Fernandes, Paul Pogba dan Marcus Rashford sering mengambil peranan secara silih berganti untuk melakukan sepakan.

Namun kedua-dua pemain mempunyai isu konsistensi dan keyakinan di hadapan gol dalam situasi tegang mengambil sepakan sehingga kerap kali tersasar.

Pemain lain yang turut pernah tampil melakukan sepakan adalah seperti Anthony Martial dan juga Juan Mata.

Namun di kalangan semua pemain yang Man Utd miliki pada hari ini, Ole Gunnar Solksjaer harus berfikir banyak kali untuk mengarahkan pemain baharu, Alex Telles untuk mengambil sepakan.

Ini kerana Telles pernah terciduk dan mengalami kecederaan ketika menyempurnakan sepakan penalti untuk Porto dalam perlawanan menentang Benfica di Liga Portugal.

Pada ketika Porto sedang ketinggalan 2-1 dalam perlawanan yang diadakan pada 17 Mac tahun lalu, Telles mengambil sepakan selepas pengadil perlawanan Jorge Sousa mengasari kekasaran oleh pemain pertahanan Benfica.

Telles dengan yakinnya mengambil bola, menempatkan bola di titik sepakan, dan tampak begitu meyakinkan untuk menyamakan kedudukan untuk Porto.

Seperti dijangka, Telles berjaya menjadikan kedudukan 2-2 namun seraya sepakan tersebut diambil, bek kiri itu terciduk terbaring di atas padang sambil mengerang kesakitan memegang pinggul.

Daripada rakaman video seperti yang dikongsikan, Telles dipercayai mengalami sedikit kecederaan otot ketika melepaskan rembatan.

Kesakitan yang dilami oleh Telles itu bagaimanapun tidak menghalang pemain dari Brazil itu meneruskan perlawanan selepas mendapatkan rawatan di tepi padang.

Namun berdasarkan video tersebut, kita boleh tahu Telles berada di dalam keadaan kesakitan yang amat sangat. Ia menjadi salah satu kecederaan paling pelik pernah berlaku di dalam bola sepak.

Sekurang-kurangnya Sergio Conceicao yang melatih Porto boleh menarik nafas lega kerana menanti pasukannya selepas itu adalah Liverpool di suku akhir Champions League. Kita semua tahu kesudahannya.

Berbalik kepada kecederaan dan perlawanan tersebut, Porto kemudiannya memiliki momentum selepas Telles menyamakan kedudukan.

11 minit kemudian Porto diberikan satu lagi sepakan penalti. Kali ini Telles enggan mengambil sepakan dan membiarkan Tiquinho Soares mengambil sepakan tersebut.

Porto akhirnya menewaskan Benfica 3-2. Namun sepakan penalti dan kecederaan Telles pasti akan dikenang sehingga ke Old Trafford.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.