[VIDEO]: Pelumba Go-Kart Baling Serpihan Bumper Kepada Pesaing Selepas Berang Tersingkir

Seorang pemandu Go-kart, Luca Corberi kini berhadapan dengan hukuman gantung seumur hidup selepas tindakan mengejutkan yang dilakukannya di Kejohanan FIA Go-Kart Dunia.

Selepas tersingkir akibat kemalangan pada perlumbaan Ahad lalu yang berlangsung di sirkit Lonato, pemandu dari Itali berusia 23 tahun itu mengutip serpihan bumper jenyeranya yang pecah dan membaling ke arah Paolo Ippolito yang sedang memandu pada kelajuan tinggi.

Insiden dan tantrum yang ditampilkan Corberi itu boleh sahaja mengakibatkan kemalangan kepada ramai pemandu lain. Mujurlah tiada sesiapa yang mengalami kecederaan akibat dari perbuatannya itu.

Corberi secara peribadi menyalahkan Ippolito sehingga mengakibatkan dirinya kemalangan dan tersingkir dari perlumbaan.

Malah Corberi turut menunggu pesaingnya itu di pits selepas bertindak menyeberang litar pada ketika perlumbaan sedang berlangsung.

Ayah Corberi sebenarnya adalah pemilik kepada litar tersebut, dan turut terlibat dengan kekecohan di kawasan teknikal sebelum campur tangan pegawai perlumbaan.

Kini terdapat panggilan agar Corberi dan ayahnya digantung seumur hidup dari perlumbaan kerana tindakan tidak munasabah dan luar kawalan dari kedua-duanya.

Bekas juara F1 Jenson Button selepas kejadian itu menyifatkan Luca Corberi telah memusnahkan kariernya sendiri.

“Luca Corberi telah memusnahkan setiap peluang yang dimilikinya dalam karier perlumbaan akibat sikap yang memalukan ini.

“Ayahnya memiliki litar tersebut dan turut bersikap sama mendorong anaknya bertindak sedemikian. Berikan hukuman gantung seumur hidup untuk kedua-duanya,” kata Button.

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.