[VIDEO]: Luqman Hakim Kini Naik Basikal Turun Latihan KV Kortrijk

Luqman Hakim kini tidak perlu pening akan pengangkutan yang perlu dinaikinya untuk turun latihan bersama KV Kortrijk.

Ini kerana kelab Belgium itu telah mendapatkan sebuah basikal ‘istimewa’ untuk kegunaan Luqman.

Basikal yang diberikan kepada Luqman juga bukanlah basikal biasa-biasa. Ia adalah sebuah basikal elektrik yang memudahkan kayuhan beliau ke stadium dan juga ke tempat latihan dari kediaman pemain itu.

“Kami ada satu mesyuarat dalaman mengenai Luqman dan cara dia menyesuaikan diri yang nampak baik. Dan kami berpendapat dia harus mempunyai pengangkutan yang lebih baik kerana dia tidaklah tinggal dekat sangat dengan stadium,” kata seorang pegawai kelab yang membawa Luqman ke kedai basikal.

“Lebih mudah untuk saya mengayuh basikal untuk ke latihan, dan untu ke bandar. Ia lebih laju dari basikal lama saya,” kata Luqman yang jelas gembira dengan basikal barunya itu.

Menurut pemilik kedai, basikal Luqman itu turut dilengkapi dengan mode turbo untuk memudahkan kayuhan – dan yang penting tidak menyebabkan kecederaan terhadap beliau.

Luqman belum lagi berpeluang beraksi bersama skuad utama KV Kortrijk di dalam perlawanan kompetitif di Belgium setakat ini.

Namun beberapa aksi perlawanan persahabatan menampilkan aksi kemas pemain itu yang turut telah menjaringkan beberapa gol untuk pasukan barunya itu.

Luqman Hakim berlepas ke Belgium bulan lepas setelah menandatangani kontrak lima tahun bersama KV Kortrijk yang dimiliki taikun perniagaan Malaysia, Tan Sri Vincent Tan

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.