Video ‘Lip-Readers’ Solksjaer Tentang Sancho Buat Penyokong MU Teruja Sebelum Kecewa

Penyerang England, Jadon Sancho akan kekal bergelar pemain Borussia Dortmund pada musim hadapan.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Pengarah Sukan Dortmund, Michael Zorc selepas Manchester United dikatakan gagal mencapai persetujuan dengan kelab Bundesliga itu mengenai jumlah yuran perpindahan yang harus dibayar untuk pemain itu.

Pengumuman tersebut dilakukan oleh Zorc pada hari terakhir yang telah ditetapkan oleh Dortmund untuk United bersetuju dengan terma yang diberikan untuk mendapatkan Sancho.

Penyerang England itu adalah sasaran utama Ole Gunnar Solksjaer pada jendela perpindahan kali ini dan spekulasi mengenai masa depan pemain itu ke Old Trafford sudah pun lama diperkatakan.

“Kami merancang untuk Jadaon Sancho berada di dalam pasukan pada musim ini,” kata Zorc.

“Keputusan itu adalah muktamad. Saya berpendapat jawapan ini telah menjawab segala persoalan.

“Pada musim panas lalu kami menambahbaik gaji Jadon sesuai dengan prestasi beliau. Maka di dalam konteks ini, kami telah melanjutkan kontrak beliau sehingga 2023.”

Teruja sebelum kecewa

Sebelum pengumuman oleh Zorc, kami percaya ramai penyokong Manchester United yang teruja mengenai ketibaan Jadon Sancho ke Old Trafford.

Malah ramai dari kalangan penyokong Manchester United yakin Dortmund dan United akhirnya akan mencapai kata sepakat mengenai masa depan pemain itu berikutan tularnya satu video membabitkan pengurus United, Ole Gunnar Solksjaer.

Klip video berdurasi 12 saat itu memaparkan Solksjaer sedang bercakap kepada Nemanja Matic dengan gerakan bibirnya jelas kelihatan.

Bukannya kami mahu melakukan andaian mengenai apa yang diperkatakan oleh Solksjaer kepada Matic.

Tetapi penyokong United sendiri telah melakukan spekulasi berdasarkan gerakan bibir pengurus dari Norway itu.

Dalam klip itu Solksjaer dipercayai berkata: “Mereka mahukan lebih tunai.

“Telah diselesaikan…..ya, ya, pada Selasa.”

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.