Video: Lihat Aksi Keji Maguire Menyekat Kemaraan Lascelles

Harry Maguire dilaporkan dengan sengaja telah menyiku muka Jamaal Lascelles ketika tiada bola bersama mereka dalam aksi saingan Liga Perdana Inggeris semalam.

Manchester United berjaya menundukkan Newcastle 3-1 di Old Trafford awal pagi tadi dan berjaya mengutip tiga mata penuh untuk kembali ke kedudukan ke-2 dalam carta liga.

Newcastle menunjukkan peningkatan yang sangat bagus walau tewas kepada skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer terutama sekali ketika aksi babak pertama permainan.

45 minit pertama, Newcastle dilihat lebih banyak mendominasi permainan dan melancarkan serangan yang berjaya membuatkan barisan pertahanan United kucar kacir.

Set pieces jelas kelemahan paling nyata untuk skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer dengan mereka bolos dalam perlawanan ini juga dari situasi sama menerusi Allan Saint Maximin.

Maguire sejak kebelakangan ini tidak berada dalam tahap persembahan terbaiknya dan aksi persembahan beliau turut sering dikritik oleh para peminat.

Beliau merupakan antara masalah utama United dalam perlawanan awal pagi tadi dan berkemungkinan sudah dilayangkan kad merah kerana permainan kotor yang beliau amalkan.

Terdapat satu rakaman yang memperlihatkan Harry Maguire bermain kotor dengan menyiku pemain lawan ketika tiada bola bersama mereka.

Terdapat satu insiden ketika aksi babak pertama permainan, Newcastle merencana serangan dengan melakukan hantaran silang ke dalam kotak penalti United.

Namun, David de Gea lebih pantas dan bijak mengawal keadaan dan menyelamatkan bola tersebut. Walau bagaimanapun satu sisi lain di sudut far post, Maguire dilihat melakukan aksi keji terhadap pemain Newcastle.

Beliau kononnya mahu mengawal Lascelles dari memberi ancaman ke gawang golnya, namun cara beliau melakukan halangan itu dikritik teruk oleh para peminat.

Beliau awalnya melihat arah bola dan kemudian mengalihkan pandangannya untuk melihat arah gerakkan Lascelles dan dengan tidak mempedulikan bola lagi, beliau menghadang larian pemain Newcastle itu dengan menggunakan sikunya.

Sungguh jijik dan keji permainan jahat Maguire dalam usahanya untuk menghalang serangan dari pasukan lawan.

Baru sahaja seminggu yang lalu bekas pemain Leicester City itu meluahkan rasa tidak senang beliau ketika dirinya tidak dihadiahkan sepakan penalti dalam pertemuan bertemu West Brom walau beliau sememangnya datang dari kedudukan offside.

Ketua pasukan United itu turut mendakwa pengaruh dari Jurgen Klopp dan Jose Mourinho yang mempertikaikan penalti mereka miliki menyebabkan pengadil takut untuk membuat keputusan.

“Sejak kebanyakkan orang dari pasukan lain bercakap tentang kami, kami langsung tidak dipedulikan lagi oleh pengadil perlawanan atau VAR.”

Jelas pemain berusia 27 tahun itu kepada MUTV.

Jaringan Marcus Rashford, Daniel James dan Bruno Fernandes melengkapkan kemenangan 3-1 United menewaskan Newcastle.

Kemenangan ini membawa United kembali ke kedudukan kedua dalam saingan liga, berkongsi 49 mata dengan Leicester City.

Setan merah kini hanya 10 mata sahaja di belakang pendahulu saingan liga, Manchester City dan enam mata di atas Chelsea untuk terus berada dalam kedudukan top 4 musim ini.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.