Video: Kesilapan Dari Thiago Silva Mengundang Padah Untuk Chelsea

Chelsea menandatangani Thiago Silva untuk menambah baik benteng pertahanan yang mereka rasakan perlu ada penambahan dari pemain yang berpengalaman.

Thiago melakukan debut pertamanya dalam saingan premier league awal pagi tadi ketika Chelsea bertemu West Brom.

Apa yang menariknya, Thiago Silva diberi kepercayaan oleh pengurus kelab, Frank Lampard untuk menyarung lilitan ketua pasukan dalam perlawanan debutnya.

Selepas dikecewakan oleh sang penakluk dunia, Liverpool minggu lalu, Chelsea pastinya mahu menang dalam perlawanan ini selepas kelab banyak melabur pada jendela perpindahan baru-baru ini.

Namun sayangnya aksi yang dipamerkan oleh anak-anak buah Frank Lampard pada separuh masa pertama perlawanan sangat mengecewakan.

Chelsea yang berbelanja besar untuk memantapkan skuad pada musim ini telah dibelasah teruk oleh West Brom pada babak pertama perlawanan dengan kedudukan 3-0.

Gol pertama untuk pendatang baru premier league itu terhasil seawal minit ke-4 perlawanan menerusi Callum Robinson.

Musim lalu, Robinson membuka akaun jaringan beliau dalam pentas premier league bersama Sheffield juga ketika bertemu Chelsea.

Dan musim ini, beliau memperoleh jaringan pertamanya untuk West Brom juga dengan pasukan yang sama.

Jaringan tersebut juga menyebabkan Chelsea gagal untuk mendapatkan clean sheet dari 20 perlawanan terakhir mereka di tempat lawan dalam saingan liga sejak dikendalikan oleh Frank Lampard.

Pada minit ke-25 perlawanan, Robinson sekali lagi menjadi masalah kepada Chelsea selepas menambah gol kedua untuk West Brom mendahului the blues 2-0.

Terjadi insiden yang menyebabkan debut penuh istimewa Thiago Silva sebagai ketua pasukan, menjadi mimpi ngeri buatnya.

Ketua pasukan Chelsea itu melakukan kesilapan mudah yang menyebabkan bola terlepas kepada pemain lawan dan gawang the blues dibolosi kali kedua.

Tidak jauh beza dengan apa yang dilakukan oleh Kepa dalam perlawanan menentang Liverpool minggu lalu, Thiago Silva seolah memudahkan laluan untuk pemain lawan membolosi gawang golnya.

Rekod yang sungguh buruk dicatatkan oleh Chelsea, mereka baru sahaja beraksi 3 perlawanan dan sudah melakukan 3 kesalahan yang menyebabkan gawang gol mereka dibolosi.

Catatan tersebut merupakan angka yang sama dengan kesilapan yang telah mereka lakukan untuk satu musim pada musim yang lalu.

Lebih parah lagi, Thiago Silva menjadi pemain yang bukan penjaga gol pertama melakukan kesilapan menjurus kepada gol lawan sejak kali terakhir dilakukan oleh Issa Diop untuk West Ham pada tahun 2018.

Silva sekali lagi melakukan kesilapan selepas gagal untuk mengawal bola dengan kemas di zon paling bawah, dan kesilapan itu membuka ruang untuk Darnell Furlong menanduk bola ke arah Kyle Bartley yang kemudian menolak masuk bola ke gawang gol Chelsea.

Tamat separuh masa pertama dengan Chelsea ketinggalan 3-0.

Masuk babak kedua perlawanan, Chelsea dilihat lebih berhati-hati dan gerakan mereka juga semakin kemas.

Mason Mount menjaringkan gol yang cantik untuk Chelsea pada minit ke-55 perlawanan sebelum Callum Hudson Odoi menjaringkan gol kedua untuk the blues pada minit ke-70.

Chelsea akhirnya berjaya untuk mendapatkan jaringan penyamaan pada minit akhir perlawanan menerusi Tammy Abraham.

Perlawanan tamat dengan keputusan seri 3-3 antara pendatang baru premier league, West Brom menentang Chelsea.

Perlawanan ini pastinya menjadi debut yang tidak diingini oleh Thiago Silva selepas melakukan kesilapan mudah begitu.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.