Video Buktikan Mason Greenwood Miliki Kekuatan Kaki Kiri Dan Kanan Sama Padu

Andai usia yang menjadi perbandingan, maka Mason Greenwood sepatutnya mampu berada di tahap yang sama seperti Erling Braut Haaland atau pun Kylian Mbappe. Namun proses perkembangan setiap pemain tidak sama.

Untuk menilai karier Mason Greenwood setakat ini secara perspektif, penyerang remaja itu kini telah menjaringkan lebih banyak gol untuk Manchester United berbanding pelaburan jutaan ringgit yang telah dibelanjakan sebelum ini untuk pemain seperti Alexis Sanchez, Radamel Falcao, atau pun Angel Di Maria.

Tiga nama tersebut adalah bintang bola sepak yang mempunyai lebih banyak pengalaman beraksi di peringkat tertinggi ketika tiba di Old Trafford.

Mason Greenwood pula hanya berusia 19 tahun. Pemain yang dilahirkan dari sistem akademi Manchester United itu benar-benar menampilkan prestasi yang menakjubkan setakat ini.

Sejak menyertai skuad utama United, Greenwood telah tampil dalam 38 perlawanan di Premier League untuk Manchester United setakat ini.

Namun ia tidak menghalang pemain muda ini untuk menghasilkan 19 gol daripada 58 penampilan keseluruhan – termasuk gol sulungnyga di pertandingan UEFA Champions League menentang RB Leipzig pada pertengahan minggu lalu.

Greenwood memiliki setiap ramuan untuk berjaya di bawah kendalian Ole Gunnar Solksjaer.

Penyerang muda ini diaanggap mempunyai penyudah yang tajam dan memiliki kebolehan menggelecek dengan kepantasan, selain boleh beraksi di beberapa posisi serangan.

Malah ketika liga ditangguhkan selama beberapa bulan sejak Mac lalu, Greenwood tetap bekerja keras untuk menambah kekuatan fizikalnya.

Menurut laporan, beliau telah menambah 3kg otot tricep, bicep dan quadricep – bukti pemain ni mempunyai mentaliti yang betul untuk pergi jauh dalam kariernya.

Kekuatan utama Greenwood mungkin ialah kebolehan menggunakan kedua-dua belah kakinya dalam permainan.

Sehingga kini, Greenwood sudah pun merekodkan 14 gol dari kaki kiri, dan 19 lagi dengan kaki kanan. Kebanyakkannya adalah rembatan kencang.

Kekuatan fizikal yang dimilikinya juga kini dikatakan menjadi senjata baharunya dalam mencari peluang menjaringkan gol. Dalam satu klip ketika sesi latihan, Greenwood dilihat mudah menewaskan saingan daripada Victor Lindeloff.

“Mason adalah pemain muda. Beliau baru berusia 18 tahun dan tempoh perintah kawalan hanya memberikan kebaikan kepadanya. Pada usianya, mereka akan terus membangun dan menjadi lebih kuat,” ujar Solksjaer kepada Manchester Evening News.

“Mason semakin membesar seperti seorang lelaki dewasa. Fizikal itu pasti akan membantu beliau.

“Pada awalnya beliau kelihatan sangat seperti budak remaja. Sekarang beliau mulai menampilkan kekuatan fizikalnya ketika latihan dan berlatih dengan baik bersa.

“Kualiti di hadapan gol juga memang hebat. Kini beliau mempunyai kekuatan untuk bersaing dengan pemain pertahanan lawan.

“Saya juga berpendapat jurulatih kecergasan melakukan kerja yang sangat baik bersama Mason. Ada masa beliau diberikan masa rehat dan pemulihan selepas satu sesi penuh latihan. Beliau dalam keadaan yang sangat baik.”

Satu perkara yang pasti, Greenwood harus meletakkan episod memalukan dihantar pulang dari kem England kerana melanggar peraturan pasukan di belakang.

 

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.