“VAR Hanya Diguna Untuk Keputusan Menentang Barcelona” – Koeman

Pengurus Barcelona Ronald Koeman mendakwa teknologi video bantuan pengadil (VAR) hanya digunakan untuk membuat keputusan menentang Barcelona, selepas sepakan penalti oleh Sergio Ramos membantu Real Madrid untuk menang dalam perlawanan El Clasico pada malam tadi.

Federico Valverde meletakkan Real Madrid yang sebelum pertemuan ini tewas dua perlawanan berturut-turut selepas menerima hantaran cantik Karim Benzema.

Kemudian pemain berusia 17 tahun, Ansu Fati menyamakan kedudukan buat Bacelona selepas pemain itu menyempurnakan hantaran lintang Jordi Alba, sekali gus menjadi penjaring termuda di dalam sejarah El Clasico.

Selepas itu Ramos menjaringkan gol dari sepakan penalti sebelum giliran Luka Modric menjaringkan gol ketiga untuk Los Blancos pada lewat permainan.

VAR mengambil masa yang lama untuk memberikan penalti kepada Ramos dan Real Madrid, dipercayai mengubah haluan perlawanan.

Pengadil, Juan Martinez Munuera tidak melihat insiden Clement Lenglet menarik jersi Ramos, namun tetap memberikan sepakan penalti kepada Real Madrid selepas melakukan semakan melalui video.

Barca pula mempunyai dua rayuan untuk semakan VAR dilakukan ditolak. Pertama ialah apabila Raphael Varane dipercayai mengasari Lionel Messi, dan kedua ialah kemungkinan bola terkena tangan pemain pertahanan dari Perancis itu.

“Saya tidak faham VAR. Saya berpendapat ianya hanya digunakan untuk membuat keputusan apabila ia menentang Barca,” kata Koeman selepas pasukan kendaliannya hanya mengumpul 7 mata dari 5 perlawanan La Liga yang dilalui setakat ini.

“Dalam kawasan seperti itu, aksi tarik menarik baju sering berlaku dan saya berpendapat Ramos terlebih dahulu mengasari Lenglet. Memang ada tarikan pada baju, tetapi ia tidak cukup kuat untuk menjatuhkan beliau sampai begitu. Pada saya ia bukan penalti.

“Kami sudah melalui lima perlawanan dan [VAR] hanya digunakan untuk membuat keputusan menentang Barca. Ia tidak pernah memihak kami.

“Keputusan seperti ini akan mempengaruhi keputusan akhir perlawanan, kerana kami bermain dengan amat baik sehinggalah ke saat penalti itu diberikan.”

Ramos pula berpendapat sebaliknya. “Saya berpendapat ia amat jelas penalti. Dia menarik baju saya ketika saya melompat untuk mendapatkan bola dan ia jelas seperti siang hari. Ia tidak adil untuk mengkritik pengadil untuk keputusan akibat insiden sejelas itu.”

Keputusan tersebut mengekalkan Real Madrid di kedudukan teratas La Liga dengan 13 mata dari enam perlawanan dan menjarakkan jurang kepada 6 mata daripada Barcelona.

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.