Van Persie Anggap Kemenangan Liverpool Menewaskan Ajax Hanya Kerana Bernasib Baik

Robin Van Persie percaya bahawa Liverpool hanya bernasib baik berjaya untuk menewaskan Ajax dalam perlawanan pembukaan saingan liga Juara-juara mereka semalam.

The Reds menewaskan Ajax 1-0 semalam hasil dari gol jaringan sendiri Nicolas Tagliafico yang tertampan bola cubaan dari Sadio Mane.

Ajax sendiri berpeluang untuk memperoleh jaringan penyamaan dalam perlawanan semalam namun percubaan mereka telah diselamatkan oleh Fabinho dengan aksi penyelamatan atas garisan bertaraf dewa.

Fabinho telah dipertanggungjawabkan untuk bergandingan dengan Joe Gomez di posisi centre-back menggantikan Virgil Van Dijk yang sedang direhatkan kerana mengalami kecederaan.

Namun kemenangan tempat lawan yang diperoleh Liverpool semalam tidak berjaya untuk meyakinkan Van Persie yang menganggap the reds hanya menang nasib.

Van Persie turut menganggap Liverpool bermain dengan sangat teruk dan jelas mereka terkesan dengan kehilangan Van Dijk dan Thiago Alcantara.

Bercakap selepas tamat perlawanan semalam di BT Sport, Van Persie telah menyatakan:

“Mereka jelas terkesan dengan kehilangan pemain utama mereka. Kehilangan Virgil Van Dijk diposisi pertahanan jelas antara yang paling terkesan. Thiago juga walau dia masih baru bersama Liverpool namun dia adalah pemain berkelas dunia.”

“Tetapi Ajax mempunyai peluang lebih baik malam ini. Mereka beraksi dengan cukup baik, mereka mempunyai empat atau lima peluang keemasan, dan kebiasaannya mereka akan berjaya menyempurnakan salah satu peluang tersebut.”

“Tapi tidak malam ini. Jadi saya rasa Liverpool cuma bernasib baik dalam perlawanan ini.”

Ketika ditanya adakah Ajax berhak untuk memperoleh sesuatu dari perlawanan tersebut, Van Persie menjawab:

“Ya, saya juga percaya itu. Ajax bermain dengan bagus, mencipta banyak peluang tapi mereka gagal memperoleh jaringan.”

Walau bagaimanapun, Van Persie turut mengagumi persembahan yang dipamerkan oleh Sadio Mane dan turut memuji sumbangan dari Jordan Henderson dalam perlawanan tersebut.

“Bagi saya, ketika babak pertama permainan, ianya sangat menarik untuk melihat aksi yang dipersembahkan oleh Mane. Pergerakan dia, cara bagaimana dia mengawal bola, cara dia menghubungkan sesama pemain, saya sanggup bayar untuk melihat dia. Dia pemain yang sungguh hebat untuk disaksikan.”

“Kamu boleh lihat Liverpool seperti tiada arah ketika awal permainan, namun apabila Henderson masuk, kamu boleh lihat ciri kepimpinan yang dia miliki.”

“Dia boleh mengarahkan rakan sepasukannya untuk masuk dalam setiap perebutan bola, dia juga sangat bagus dengan bola dan paling penting keyakinan dia mengagumkan.”

“Dia seperti seorang yang cukup sifat, pemain yang matang, ketua pasukan sebenar dan kerana itu dia membawa perubahan yang besar selepas kemasukkannya pada babak kedua perlawanan.”

Skuad kendalian Jurgen Klopp akan meneruskan aksi dalam saingan premier league pada hari Sabtu nanti bertemu Sheffield United di Anfield.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.