Van Dijk Tak Puas Hati Prestasi Netherlands, Patut Salahkan Diri Sendiri Dahulu

Itali kini menduduki tangga teratas Kumpulan A1 Nations League selepas menang tipis 1-0 ke atas Netherlands hasil jaringan tunggal Nicolo Barella.

Pemain tengah Inter Milan itu meloncat paling tinggi di antara Nathan Ake dan pemain pertahanan terbaik dunia, Virgil Van Dijk di masa tambahan babak pertama perlawanan untuk gol tersebut.

Dalam perlawanan tersebut, penyerang Everton, Moise Kean turut terlepas beberapa peluang meningkatkan kelebihan jaringan untuk Itali.

Manakala Memphis Depay gagal menterjemahkan sepakan akrobatik pada babak akhir perlawanan kepada jaringan.

Kapten pasukan, Virgil van Dijk menyalahkan prestasi keseluruhan pasukan atas kekalahan tersebut – walaupun nyata beliau harus bertanggungjawab terhadap gol oleh Barella.

“Ia adalah perlawanan yang buruk dari kami,” kata pemain pertahanan terhebat Liverpool itu.

“Kami gagal menekan mereka, dan kerap kehilangan bola.

“Keadaan padang tidak membantu, tetapi tiada alasan. Kami patut bermain lebih baik – itulah rumusannya untuk malam ini.

“Babak pertama amat buruk. Selepas rehat kami cuba mengubah perlawanan, dan ada masanya kami bermain dengan baik. Tetapi secara keseluruhan ia bukan permainan yang baik dari pasukan.

“Anda berusaha meletakkan tekanan. Namun sampai masanya, pemain mulai kepenatan. Ia sukar mengekalkannya apabila memiliki bola dan melakukan larian beterusan.

“Tetapi saya tidak mahu membuat alasan. Babak pertama secara purata prestasi kami tidak baik.”

Di sebalik kesukaran disebabkan oleh keadaan padang dan rakan sepasukan yang mulai keletihan, Van Dijk bagaimanapun tidak menjelaskan bagaimana Itali boleh membolosi gawang mereka.

Melalui rakaman video jelas sekali Van Dijk turut harus bertanggungjawab membenarkan Barella melakukan larian dari belakang dan mengelirukan dirinya dan Nathan Ake.

Untuk rekod, ia bukan kali pertama Van Dijk membiarkan pemain penyerang lawan lolos dengan begitu mudah. Perkara sama turut berlaku ketika perlawanan pra musim diantara Liverpool dan RB Leipzig tempoh hari.

Adakah Van Dijk cuba melakukan ‘no-look defending’ yang dipelopori oleh Harry Maguire? Apa pendapat anda mengenai prestasi pemain pertahanan terbaik dunia ini?

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.