Van De Beek Akhirnya Buka Mulut Berkait Isu Kekurangan Minit Permainannya Bersama Manchester United

Donny Van De Beek akhirnya membuka mulut tentang isu kekurangan minit permainannya bersama Manchester United sejak dari perpindahan meganya dari Ajax musim panas lalu.

Van De Beek sangat jarang digunakan dalam sistem kendalian Ole Gunnar Solskjaer walau beliau ditandatangani pada musim panas lalu dengan nilai £35 juta.

Bakat hebat dari Belanda itu hanya memulakan dua perlawanan sahaja untuk setan merah musim ini.

Terbaru beliau telah diturunkan sebagai kesebelasan utama United ketika bertemu RB Leipzig dalam saingan liga Juara-juara kemarin.

Beliau menjadi nadi bahagian tengah United ketika skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu membelasah pendahulu saingan Bundesliga dengan keputusan 5-0 di Old Trafford.

Namun ketika aksinya di atas padang, United hanya mendahului perlawanan dengan keputusan 1-0 dan selepas kemasukkan Bruno Fernandes serta Rashford, jentera serangan setan merah mengganas dengan menjaringkan empat lagi gol untuk menamatkan perlawanan dengan keputusan 5-0.

Bercakap ketika menjelang pertemuan Manchester United bertemu Arsenal dalam saingan liga Perdana Inggeris hujung minggu nanti, Van De Beek telah meluahkan rasa kecewanya beliau kerana tidak mendapatkan minit permainan yang mencukupi.

“Pemain sentiasa mahu bermain dalam perlawanan. Berlatih juga sangat baik, tapi untuk mendapat minit permainan ianya lebih menarik….ini sebabnya kenapa kamu bermain bola sepak.”

Jelasnya kepada The Metro.

“Saya rasa lebih banyak permainan yang dimainkan lebih banyak yang boleh diperbaiki dan saya sangat yakin yang kami akan menang lagi jika kami lebih fokus.”

“Arsenal telah menunjukkan yang mereka mempunyai barisan pemain yang bagus, dan saya maksud kita kena lebih fokus.”

“Kami menang semalam dan semua orang gembira dan ianya sangat bagus untuk kami membina keyakinan dan segalanya, tapi sekarang kami mesti teruskan untuk perlawanan mendatang.”

“Banyak lagi perlawanan besar yang akan kami hadapi tak lama lagi. Banyak lagi perlawanan. Jadi kami harus terus fokus dan kemudian saya yakin kami boleh menang semua baki perlawanan.”

Bintang berusia 23 tahun itu turut memuji persembahan yang dipamerkan oleh Marcus Rashford yang cemerlang mencatatkan hat trick dalam perlawanan tersebut selepas di masukkan pada babak kedua permainan.

“Dia seorang pemain yang mengagumkan.”

“Saya sudah nampak sejak awal lagi, sejak dari mula saya jejak kaki di sini saya sudah nampak kualiti yang dia ada. Dia seorang pemain yang sungguh hebat. Dia juga seorang manusia yang baik.”

“Dia seorang yang sungguh bekerja keras dan dia seorang yang sangat berbakat. Saya sangat mengagumi dia sebagai seorang manusia dan saya sangat berbangga dengannya. Dia sudah pun menjadi seorang pemain bintang dan dia pastinya akan menunjukkan lebih banyak lagi kualiti yang dia miliki. Saya sangat yakin itu.”

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.