Usain Bolt Memilih Tiga Pemain Bola Sepak Untuk Menyertainya Dalam Larian 4×100 Meter

Usain Bolt merupakan individu paling tepat untuk memutuskan siapa pemain bola sepak yang boleh berlari dengan paling pantas sekali.

Beliau sebelum ini telah memilih tiga pemain bola sepak yang dirasakan paling sesuai untuk menyertainya dalam larian 4×100 meter.

Manusia terpantas di muka bumi itu telah terlibat dalam satu sesi soal jawab bersama FIFA.com dan beliau telah ditanya pemain mana yang beliau mahukan untuk sertainya dalam larian 4×100 meter.

Bolt dengan segera memilih tiga pemain yang beliau rasakan antara yang terpantas dan paling sesuai untuk berlari bersamanya.

Bolt yang sudah memenangi sembilan pingat emas Olimpik, sebelum satu darinya ditarik balik selepas rakan sepasukannya dalam acara 4×100 meter gagal ujian dadah, telah memilih Cristiano Ronaldo, Kylian Mbappe dan Gareth Bale sebagai pilihan utamanya.

Ronaldo mungkin sudah sedikit berusia dengan kini usianya mencapai 35 tahun, namun beliau sama sekali tidak pernah menunjukkan tanda-tanda yang kepantasannya semakin berkurangan.

Selain masih memiliki kelajuan yang luar biasa mengagumkan, Ronaldo juga masih berbisa dan masih hebat ketika beraksi di atas padang dengan usianya sekarang.

Musim lalu, penyerang Juventus itu melakukan aksi larian pecut dengan jarak 92 meter hanya dalam masa 10 saat sahaja, ketika aksi pertemuan bertemu Napoli.

Mbappe tidak dinafikan lagi merupakan salah seorang pemain terpantas dan terhebat di muka bumi ini walau baru berusia 22 tahun.

Beliau sememangnya mimpi ngeri untuk pertahanan pasukan lawan dengan kepantasan yang dimiliki olehnya di atas padang.

Bale mungkin bukan lagi pemain seperti dirinya yang dahulu lagi, selepas beberapa musim mengalami masalah bersama Real Madrid, namun, pemain kebangsaan Wales itu masih lagi merupakan antara pemain terpantas di dunia pada ketika ini.

Walau bagaimanapun, pemain terpantas dalam dunia bola sepak pada ketika ini adalah bintang Flamengo, Bruno Henrique.

Pemain berusia 28 tahun itu pernah mencatatkan kelajuan 38km/h dalam lariannya ketika aksi perlawanan suku akhir saingan Copa Libertarores bertemu Internacional pada tahun 2019.

Usain Bolt yang dianggap sebagai manusia terpantas di muka bumi itu juga mencatatkan kelajuan 37.6km/h ketika beliau memecahkan rekod dunia acara 100 meter pada tahun 2009 lalu.

Jadi, kelajuan yang dimiliki oleh Henrique sepertinya tidak begitu jauh bezanya dengan pelari pecut nombor satu dunia itu.

Bolt mungkin pernah kehilangan satu pingat emas sejak dari persaraannya dan beliau juga hampir kehilangan rekod 100 meter miliknya tahun lalu ketika lockdown.

Ia kerana terdapat satu detik menghiburkan pada tahun lalu yang mana Britney Spears mendakwa beliau berlari 100 meter hanya dalam masa enam saat sahaja dan ianya merupakan tiga saat lebih pantas dari rekod yang dipegang oleh Bolt.

Mujur rekod catatan Britney Spears itu tidak diiktiraf dan Bolt masih berjaya untuk mempertahankan rekod yang beliau pegang itu.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.