Usahawan Kosmetik Mahu Buat ‘Comeback’ Di Liga Malaysia

“Qu Puteh, Qu Puteh, barulah putih.” Hampir semua rakyat Malaysia biasa mendengar tagline ini. Dan satu masa dahulu tagline ini turut pernah mewarnai kancah saingan bola sepak Malaysia.

Dan siapa sangka pemilik Vida Beauty Sdn Bhd. yang juga merupakan jutawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman sekali lagi bakal kembali mewarnai saingan Liga Malaysia – kali ini sebagai pemilik pasukan!

Laporan oleh Utusan Digital pada hari ini mengesahkan usahawan yang lebih dikenali dengan nama Dr.Vida itu telah menyatakan minat untuk memiliki sebuah kelab bola sepak yang bertanding di pertandingan domestik.

Walaupun pernah bergelar penaja utama pasukan Kelantan, dan diulit beberapa kontroversi sebelum ini, Dr. Vida tidak pernah serik.

Sebaliknya Dr. Vida berkata berdasarkan pengalaman lalu, beliau akan lebih berhati-hati dalam melakukan pelaburan di dalam bola sepak selepas ini..

“Saya masih berminat untuk membantu bola sepak negara dan beli mana-mana pasukan, tiada istilah serik kerana sebagai ahli perniagaan ia tidak harus ada dalam diri kalau hendak berjaya,” kata beliau pada hari ini.

Susulan itu Dr. Vida turut menjemput mana-mana persatuan negeri yang berminat untuk datang sendiri berjumpa dengan beliau untuk tujuan kerjasaman tersebut.

 

Tidak seperti rata-rata penyokong bola sepak di negara ini yang cenderung melihat kepada pasukan seperti Liverpool, Manchester United, Barcelona atau Real Madrid, Dr.Diva pula masih yakin akan kemampuan bola sepak negara untuk berada di tahap lebih baik.

“Semua tahu, industri bola sepak negara tidak seperti Eropah tetapi saya yakin ­seandainya semua pihak bermula dari bawah (penyokong) hingga atasan bekerjasama, tidak mustahil bola sepak negara mampu berada di tahap lebih baik,” tambah beliau lagi.

Sebelum ini Dr. Vida pernah bekerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) melalui produk Pamoga Qu Puteh untuk tajaan bernilai RM16 juta.

Bagaimanapun, beliau berundur daripada bergelar penaja kepada pasukan dari Pantai Timur itu pada 2017.

Pasukan manakah yang sesuai dimiliki oleh Dr. Diva pada pendapat anda?

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.