Satu pertemuan di antara seorang usahawan tempatan dan pihak Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dijadualkan berlangsung pada hari ini.
Dan pertemuan tersebut adalah berkisar kepada niat usahawan tersebut untuk membeli pasukan Liga Malaysia, Kelantan The Red Warriors (TRW).
Umum mengetahui Kelantan di bawah naungan KAFA pada hari ini berada di dalam keadaan kewangan yang teruk.
Pasukan itu telah dipotong mata, dan beberapa pemain utama dikatakan akan angkat kaki selepas tamat saingan pada musim ini.
Di dalam situasi ini, satu tindakan drastik harus dilakukan untuk menyelamatkan pasukan Kelantan.
Calon pembeli
Sebelum ini Wan Kamal, iaitu ayah kepada pemain berdarah Malaysia yang berpengkalan di Amerika Syarikat, Wan Kuzain menyatakan hasrat untuk membeli pasukan Kelantan sebelum membatalkan niat itu kerana beberapa faktor termasuk jarak.
Wan Kamal kini menetap di Amerika Syarikat bersama keluarganya.
Terkini seorang pakar pelaburan, Norizam Tukirman atau lebih dikenali dengan nama Zamsaham di kalangan kaki pelabur mengesahkan berminat untuk membeli pasukan tersebut.
Thank you but first, the KAFA must settle the outstanding debt. Saya tak berminat untuk jadi jutawan, to be jutawan is not my main goal but I would like to change the culture of management thinking and preparing future kids for future football development ⚽️
— Wan Kamal, PhD (@wankamal) August 3, 2020
Seraya itu Zamsaham turut mengesahkan kepada Mingguan Malaysia, satu pertemuan dengan pihak KAFA akan diadakan pada hari ini mengenai perkara tersebut.
“Itu sahaja yang saya boleh kongsikan setakat ini.
“Apa pun tunggu perkembangan terkini dari saya untuk tahu cerita selanjutnya.
“Saya memang serius hendak ambil alih pasukan Kelantan,” katanya.
Lima syarat
Walaupun berminat untuk mengambil alih pasukan Kelantan, Norizam yang juga merupakan usahawab burger dan pemilik rangkaian hotel di selatan tanah air meletakkan lima syarat yang harus dipenuhi KAFA sebelum rundingan dilakukan.
Syarat-syarat tersebut ialah untuk KAFA menunjukkan akaun semasa (audit), perancangan pasukan, struktur organisasi, pendapatan (aliran tunai) dan analisis SWOT (kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman).
Pada mesyuarat khas Rabu lalu, Kafa menetapkan tanda harga RM3 juta untuk mana-mana pihak yang berhasrat membeli Kelantan FC serta bayaran royalti RM1 juta setahun.
Selain itu, keuntungan jualan tiket perlawanan, jersi, cenderamata dan geran tahunan Liga Malaysia adalah hak pemilik pasukan.
Tidak kurang tiga calon termasuk Norizam dikatakan berminat untuk mengambilalih pasukan Kelantang untuk saingan pada musim akan datang.