UNL 2020/21: Sepanyol 1-0 Switzerland

Sepanyol kekal sebagai pendahulu kumpulan UEFA Nations League selepas mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Switzerland di Madrid.

Gol jaringan penyerang Real Sociedad, Mikel Oyarzabal tampil sebagai satu-satunya gol yang dihasilkan dalam perlawanan ini.

Pemain sayap Wolverhmpton Wanderers, Adama Traore tampil buat kali pertama dalam perlawanan kompetitif untuk Sepanyol.

Pemain sensasi Liverpool Xherdan Shaqiri turut melakukan penampilan untuk Switzerland selepas ujian saringan wabak menunjukkan keputusan negatif.

Kluster Liverpool buat masa ini telah merekodkan dua jangkitan, iaitu Thiago Alcantara dan Sadio Mane.

Namun demikian kehadiran Shaqiri tetap gagal membantu Switzerland membocori gawang Sepanyol yang dikawal dengan cemerlang sekali oleh penjaga gol Manchester United, David de Gea.

De Gea yang menggantikan penjaga gol termahal dunia Kepa Arrizabalaga di hadapan gawang dipaksa untuk menampilkan aksi terbaik menafikan percubaan bijak oleh Loris Benito dengan menumbuk keluar percubaan rendah di near post.

Apa pun keyakinan yang dimiliki oleh Switzerland kemudiannya disentap pada minit ke-14 perlawanan selepas aksi kelam kabut di dalam kotak penalti sendiri dimanfaatkan oleh Oyarzabal.

Sepakan lemah dari penjaga gol Yann Sommer pantas dipintas oleh Mikel Merino, yang kemudiannya melorongkan bola untuk disudahkan dengan mudah oleh Oyarzabal – untuk gol ketiga antarabangsa.

Sommer bagaimanapun menebus kesilapan awalnya itu dengan aksi menyelamat luar biasa pada minit ke-28 dengan menepis tandikan deras penyerang sayap seorang lagi pemain yang berpengkalan di Manchester, Ferren Torres.

Oyarzabal terlepas peluang menggandakan kelebihan selepas babak kedua bermula apabila Sommer terlepas bola yang terus menuju ke penyerang itu. Oyarzabal bagaimanapun lambat bertindak untuk meletakkan bola di belakang gawang.

Penyerang muda sensasi Barcelona yang cuba dipancing oleh Manchester United dengan nilai 154 juta pound, Ansu Fati pula hanya menampilkan aksi biasa-biasa sebelum digantikan dengan Traore.

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.