UFC 262: Tony Ferguson Menderita Hadapi Kekalahan Ketiga Berturut-turut

Tony Ferguson telah ditewaskan oleh Beneil Dariush di acara UFC 262 sebentar tadi dan ini merupakan kekalahan ketiganya secara berturut-turut di gelanggang octagon.

Petarung Amerika Syarikat yang ketika ini berusia 37 tahun itu sebelum ini memegang rekod 12 kemenangan berturut-turut.

Beliau turut memegang rekod tidak terkalahkan selama lapan tahun sebelum dikejutkan dengan kekalahan di tangan Justin Gaethje di acara UFC 249 pada tahun lalu.

Ferguson jelas tidak mampu bangkit selepas kekalahan kepada Gaethje dengan beliau kemudiannya menjadi mangsa kekalahan di tangan Charles Oliveira di acara UFC 256 pada Disember tahun lalu.

Tidak cukup dengan itu, El Cucuy pada hari ini sekali lagi ditewaskan dengan keputusan pengadil ketika bertarung di Toyota Center di Houston, Texas.

Ferguson didominasi sepenuhnya oleh Dariush ketika awal pertarungan mereka dengan bintang utama UFC itu jelas tidak mampu melancarkan serangan ke atas lawannya.

Dariush yang ketika ini sudah berusia 32 tahun berjaya mengunci kaki Ferguson ketika aksi pertarungan di pusingan kedua, namun El Cucuy berkeras tidak mahu menyerah kalah.

Peminat turut berasa sangat teruja melihat bagaimana Ferguson mampu melepaskan diri dan tidak mengaku kalah walau sudah dikunci.

Pengadil memberikan kemenangan kepada Dariush untuk aksi pertemuan co-main event di acara UFC 262 ini dengan petarung dari Iran itu peroleh kemenangan dengan mata 30-27.

Bercakap dalam sidang media sebelum bermulanya acara UFC 262, Ferguson begitu yakin beliau mampu bangkit dari dua kekalahan berturut-turut sebelum ini dengan menewaskan Dariush.

Petarung veteran UFC itu dalam sidang media tersebut telah menyatakan bahawa:

“Kamu rasa kamu sudah cukup kenal saya?”

“Kamu nak bermain-main dengan saya? Kamu fikir saya apa? Hey budak, saya akan belasah kamu seteruk-teruknya nanti. Itu saja.”

“Saya akan hempas kamu. Saya akan hempas kamu seperti mana saya lakukan dekat anak-anak murid saya, saya akan patahkan tulang belakang kamu.”

Tapi sayangnya Ferguson hanya mampu berkokok ketika dalam sidang media sahaja, dan ketika di atas gelanggang beliau jelas kelihatan sudah tidak berdaya lagi.

Dariush ketika ini sedang mula mencipta nama dalam kategori Lightweight UFC selepas mencatatkan tujuh kemenangan berturut-turut.

Thiago Moises, Drew Dober, Frank Camacho, Drakkar Klose, Scott Holtzman, Diego Ferreira dan terbaru Tony Ferguson.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.