Trent Alexander Arnold Bakal Digugurkan Dari Skuad Euro England

Pemain right-back Liverpool, Trent Alexander Arnold dijangka akan dikeluarkan dari skuad 26 pemain England yang akan disenaraikan untuk aksi Euro nanti.

Gareth Southgate sepertinya sudah mengenal pasti senarai 26 dari 33 pemain yang beliau keluarkan sebelum ini untuk aksi saingan Euro nanti.

Pengurus England itu telah mengetepikan Trent Alexander Arnold pada bulan Mac lalu, dengan keputusan beliau itu telah mengundang kecaman dari pelbagai pihak.

Hal itu mencetuskan spekulasi yang pemain berusia 22 tahun itu sepertinya tidak akan disenaraikan dalam senarai skuad Euro England kali ini, walaupun beliau ketika ini dianggap sebagai salah seorang full-back terbaik Eropah.

Terdapat tujuh pemain yang tidak bernasib baik dan bakal dikeluarkan dari skuad Euro England nanti dengan laporan terbaru menyatakan Trent Alexander Arnold bakal menjadi salah seorang pemain berprofil tinggi yang akan digugurkan dari skuad.

Untuk bersikap lebih adil pada Southgate, beliau mempunyai empat pemain right-back untuk dipilih dari senarai 33 pemain yang beliau keluarkan sebelum ini.

Bintang Chelsea, Reece James, Kieran Trippier dan Kyle Walker sepertinya bakal menjadi pemain yang akan dipilih oleh Southgate untuk dibawa beraksi di pentas Euro nanti.

Setiap seorang dari tiga pemain tersebut mempunyai kelebihan tersendiri masing-masing, James misalnya mampu bermain di posisi sayap kanan.

Sementara Walker pula pernah digunakan sebagai pemain yang bermain di bahagian kanan ketika England bermain menggunakan tiga centre-back ketika aksi Piala Dunia 2018 yang lalu.

Walau bagaimanapun, Southgate bersama barisan kejurulatihan beliau tentunya akan merasakan membawa empat pemain yang mempunyai peranan sama terlalu membazir dan berlebihan.

Trent Alexander Arnold sering dianggap sebagai pemain attacking full-back yang terhebat di dunia pada ketika ini, selepas melihat kepada aksi beliau bersama Liverpool.

Pada penghujung musim ini, Trent Alexander Arnold telah menunjukkan peningkatan aksi yang sangat mendadak dengan beliau menjadi kunci kepada kejayaan Liverpool mara ke saingan Champions League musim hadapan.

Selain Arnold, nama bintang muda Manchester United, Mason Greenwood juga dikatakan bakal disingkirkan dari senarai akhir untuk skuad England kali ini.

Mason Greenwood mungkin bakal diketepikan dek kerana tempat beliau bakal diisi oleh Jesse Lingard yang ketika ini sedang berada di tahap persembahan terbaiknya.

Bintang muda Arsenal, Bukayo Saka dan pemain Aston Villa, Olie Watkins juga dikatakan antara nama yang bakal disingkirkan dari skuad 26 pemain England yang akan sertai Euro nanti.

Ben White dan Ben Godfrey juga berada dalam senarai calon pemain yang akan disingkirkan oleh Gareth Southgate selepas beliau selesai memilih 26 dari 33 pemain yang ada dalam senarainya.

Senarai 33 pemain itu juga telah membarisi empat penjaga gol dengan hanya tiga sahaja dari mereka akan dipilih untuk senarai 26 pemain akhir nanti.

Penjaga gol berusia 23 tahun Sheffield United, Aaron Ramsdale mungkin akan disingkirkan dari skuad ini, dengan Sam Johnstone bakal menjadi penjaga gol ketiga England.

Ketiadaan pemain seperti Greenwood dan Trent Alexander Arnold tentunya akan menimbulkan pelbagai kontroversi dan membangkitkan kemarahan para peminat.

Kedua-dua bintang muda itu merupakan pemain utama untuk kelab masing-masing dan telah mempamerkan rentak permainan yang menakjubkan pada musim ini.

Dan jika hal ini benar-benar berlaku, maka Southgate perlu bersia untuk mendengar kritikan dari pelbagai pihak berkait keputusan pemilihan pemain beliau.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.