Genap 20 tahun yang lalu, sewaktu Sukan SEA dilangsungkan di Jakarta, pada 14 Oktober 1997, terjadi detik memalukan bola sepak negara, suatu keadaan yang dianggap tragedi hari hitam yang menimpa skuad negara di dalam Sukan SEA 97.
Bagi para peminat yang mengikuti rapat perkembangan pasukan negara pasti sukar untuk menafikannya. Siapa boleh lupa kekalahan kepada pasukan kerdil, Laos ketika itu?
Pasukan negara yang dibimbing jurulatih Wan Jamak Wan Hassan dibarisi oleh para pemain ternama seperi Azman Adnan, K. Sanbagamaran, Dollah Salleh, dan Khairul Azman Mohamad, tewas kepada pasukan Laos yang serba serbi kurang ketika itu.

Kekalahan Memalukan
Dalam perlawanan itu pasukan Laos mendapat gol dari cubaan jarak jauh luar kotak penalti menerusi Keolakhone Channiphone yang mewaskan Khairul Azman selaku penjaga gawang pasukan kebangsaan pada minit ke 52′ perlawanan.
Taktikal pasukan Laos nampak menjadi dengan menghalang setiap cubaan hantaran lintang pasukan Malaysia dan memastikan pemain seperti K. Sanbagamaran dan Azman Adnan dikunci rapat.
Jurulatih mereka, Somphou Phongsa mengarahkan anak buahnya parking bus setelah mendapat gol tersebut. Lalu para pemain Laos berkampung dan berjaya bertahan sehingga tamat perlawanan.
Sesungguhnya kekalahan itu sangat memalukan bagi pasukan negara kerana kalau hendak dibandingkan dengan pasukan Laos ibarat langit dengan bumi.
Malaysia ketika itu memiliki liga professional dan fasiliti bernilai jutaan ringgit berbanding dengan Laos yang rata-rata dibarisi oleh pemain amatur yang kurang pengalaman antarabangsa di samping kemudahan latihan yang terhad.
Tiada alasan yang mampu diberikan atas kekalahan itu. Rakyat dan peminat dipaksa untuk menelan episod pahit dalam bola sepak Malaysia ketika itu.
Kempen Yang Gagal
Jurulatih, Wan Jamak pengurus pasukan, Datuk Dell Akhbar Khan menganggap tragedi itu sebagai hari paling memalukan bola sepak negara selepas peristiwa dimalukan oleh pasukan kerdil Filipina pada 1991 yang menyingkir harapan negara di dalam Sukan SEA juga.
Kepulangan skuad negara dicemuh oleh para peminat dan media, satu negara menghamburkan kemarahan kepada mereka ketika itu.
Ini membawa kepada perletakan jawatan Wan Jamak sebagai jurulatih setelah setahun sebelumnya beliau berjaya memimpin pasukan negara menjadi naib juara kejohanan Piala Tiger 1996.
Kempen di Sukan SEA Jakarta 97 cuma mencatatkan dua kemenangan, masing-masing keatas Vietnam (1-0), Filipina (4-0), sebelum dibelasah Indonesia (0-4) pada perlawanan terakhir.
FAM yang menerima kecaman orang ramai ketika itu mengambil langkah drastik dengan terpaksa membubar dan menggantung skuad kebangsaan daripada menyertai sebarang kejohanan buat beberapa ketika.
Terpaksa Akur
Bagaimanapun menurut ayam tambatan skuad kebangsaan ketika itu, Azman Adnan, adalah tidak adil untuk menyalahkan mereka. Beliau menegaskan skuad negara sudah bermain bermati-matian dalam usaha untuk mengangkat bola sepak negara tetapi terpaksa akur dengan kegagalan yang menimpa.
Menurutnya lagi para pemain telah berusaha bersungguh-sungguh dalam perlawanan yang dikuasai sebahagian besarnya oleh pasukan negara tetapi nasib tidak menyebelahi dan terpaksa tunduk dengan kekalahan.

Azman nyata kecewa dengan reaksi peminat ketika itu yang berubah sekelip mata terhadap pasukan negara. Setahun sebelumnya mereka dipuji disanjung dan ditatang bagai minyak yang penuh kerana berjaya menjadi naib juara Piala Tiger menewaskan pasukan gergasi seperti Indonesia sebelum tundu kepada Thailand di final.
Kejayaan yang dikecapi setahun lalu begitu mudah terpadam dengan kekalahan kepada pasukan Laos dan kegagalan mereka di dalam Sukan SEA.
Rasuah Punca Segalanya
Menurut Azman lagi, peristiwa rasuah yang melanda bola sepak negara sekitar tahun 1994-1995 menjadi punca utama kegagalan pasukan negara. Hampir 70 orang pemain yang berpotensi tinggi dijatuhkan hukuman dan ini sekaligus memberikan impak yang tidak bagus kepada pasukan negara.
Pasukan yang bertanding dalam Liga-M ketika itu menurunkan pemain muda dan kurang pengalaman untuk beraksi akibat daripada peristiwa hitam itu.
Secara purata terdapat 112 orang pemain tempatan yang beraksi pada setiap musim ditolak dengan dua tiga orang kuota pemain import, hanya terdapat lapan hingga sembilan orang sahaja pemain tempatan yang beraksi pada setiap satu perlawanan liga
Jika ditolak pemain berusia dan pemain muda yang kurang berpengalaman pula, jurulatih negara hanya memiliki kurang daripada 40 orang pemain tempatan yang benar-benar fit untuk dibentuk menjadi pemain kebangsaan ketika itu.
Kesulitan ini amat dirasai oleh jurulatih kerana hanya terdapat 40 orang pemain sahaja yang menjadi calon berbanding dengan jumlah rakyat Malaysia ketika itu seramai 20 juta orang.
Tolonglah Faham!
Talent Pool atau jumlah pemain berbakat negara ketika itu tidak ramai berbanding dengan negara lain. Ini sangat menyukarkan untuk membentuk skuad yang mantap selepas ramai daripada pemain berbakat dihukum gantung selepas terlibat dalam skandal rasuah.
Skuad negara ketika itu mesih dalam fasa transisi kerana dibarisi oleh pemain muda yang pastinya memerlukan sedikit masa untuk meraih pengalaman.
Justeru itu ketika pelbagai kecaman dihamburkan, Azman sangat berharap agar semua pihak memahami perasaaan para pemain yang telah mengerah keringat dan berjuang untuk negara.
Menurutnya tidak ada pemain yang sengaja beraksi untuk kalah apabila ia membabitkan nama baik dan maruah pasukan negara dalam kejohanan besar seperti Sukan SEA.
Nota Kaki
Artikel ini ditulis berdasarkan petikan di dalam buku keluaran Alunan Cipta (2014) bertajuk Azman Adnan Ini Ceritaku tulisan Che Din dari Retro Bola Sepak.
Anda boleh mendapatkan buku ini dengan menghubungi Che Din sendiri di nombor +60193531967

Anda juga boleh menghubungi Che Din +601935319677 untuk mendapatkan buku terbaru Retro Bola Sepak keluaran Thukul Bersekutu, 2017
