Tony Hawk : Si Hiper Aktif Yang Meluncur

Tony Hawk, nama yang tidak asing lagi dalam dunia papan luncur (skateboard). Dilahirkan pada 12 Mei 1968 di San Diego California. Semasa zaman kanak-kanak Tony merupakan seorang kanak-kanak yang bijak, bermotivasi tinggi serta hiper aktif.

Ibunya menyatakan bahawa menjaga Tony pada ketika itu adalah sesuatu yang mencabar. Walaubagaimanapun segalanya mula berubah semasa beliau berumur sembilan tahun. Abangnya telah menghadiahkan sebuah skateboard lama berwarna biru yang bercalar balar kepadanya.

Bermula dari hari itu, Tony telah menumpukan sepenuh perhatiannya kepada skateboard.

blank
Foto : Empty Light House

Hanya tiga tahun diperlukan Tony untuk mencapai kejayaan dalam sukan skateboard. Pada usia 12 tahun, Tony menerima tajaan pertama daripada Dogtown Skateboards selepas memenangi beberapa kejohanan amatur di California.

Dengan latihan dan kesungguhan yang ditunjukkan, pada usia 14 tahun beliau telah menjadi seorang peluncur profesional. Beliau dikatakan sebagai peluncur yang melangkaui umurnya. Buktinya, semasa berumur 16 tahun, Tony diiktiraf sebagai salah seorang peluncur terkemuka dunia.

Pada usia 25 tahun, Tony telah menyertai 102 kejohanan professional dan memenangi 73 daripadanya sementara 19 kali menduduki tempat kedua. Tony juga telah diiktiraf sebagai juara dunia selama 12 tahun berturut-turut.

Semasa berusia 17 tahun, pendapatan tahunan Tony melebihi pendapatan tahunan gurunya di sekolah tinggi. Kebanyakan pendapatannya adalah melalui Powel Peralta yang menjadi penaja utama kepada beliau. Sekitar 1980-an, Tony meluncur ke seluruh dunia menunjukkan demonstrasi skateboard dan menyertai pertandingan.

Populariti Tony mula menurun bersama penurunan populariti sukan skateboard pada awal tahun 90-an. Pendapatan Tony juga menurun secara mendadak. Dunia seakan melupakan skateboard secara tiba-tiba. Tidak mahu mengalah kerana perasaan cintakan sukan skateboard, Tony datang dengan idea luar biasa yang dikirakan tidak masuk akal pada ketika itu.

Foto : Jenkemmag

Beliau telah membuka sebuah syarikat skateboard bernama BirdHouse Project. BirdHouse telah diasaskan pada tahun 1992 dengan kerjasama bersama Per Wellinder seorang lagi peluncur professional. BirdHouse yang dibuka oleh beliau diasaskan berdasarkan prinsip Tony,

“if you love something, you support it and and nurture it. You put the best, most dedicated team of skateboarders together and you do what you love…skateboard”.

BirdHouse bertahan hingga kini sebagai salah satu jenama terkemuka dunia dalam sukan skateboard yang menjual deck, tayar, aksesori dan juga pakaian jenama mereka sendiri.

“900”

Tony kembali bertanding dalam pertandingan Extreme Games (X Games) yang pertama pada tahun 1995. Melalui X Games ini Tony Tony kembali dikenali dunia. Tony menjadi tumpuan dunia kerana keupayaannya untuk menunjukkan teknik-teknik serta skill luar biasa semasa meluncur.

Antara teknik terkemuka yang dilakukan Tony dinamakan ‘900’. Teknik ini memerlukan peluncur berputar 900 darjah iaitu kira-kira dua setengah pusingan di udara sebelum melakukan pendaratan sempurna. Tony adalah peluncur pertama di dunia yang mampu melengkapkan teknik ini di kejohanan ESPN X Games pada tahun 1999.

Satu kemenangan peribadi yang nyata memberi kepuasan pada Tony sebagai peluncur skateboard professional. Penyertaan pada tahun 1999 merupakan kali terakhir Tony membuat kemunculan sebagai peserta dalam kejohanan X Games.

Selepas bersara untuk menyertai pertandingan, Tony masih aktif melakukan demonstrasi, mencipta teknik-teknik baru dan membina tempat meluncur di gudang syarikatnya. Pada tahun 1999 juga dunia telah diperkenalkan dengan dengan permainan video Tony Hawk Pro Skater melalui peranti Sony Playstation.

Permainan video yang pernah menjadi fenomena bagi kanak-kanak yang memiliki Sony Playstation pada ketika itu. Kerjasama Tony bersama Activision dalam menjayakan permainan video ini berlangsung sehingga tahun 2015 dan membawa keuntungan berbilion Dollar Amerika.

Foto : game-Oldies

Selain permainan video, jenama Tony Hawk terkenal di seluruh dunia melalui Birdhouse Skateboards, Hawk Clothing dan peralatan sukan serta mainan Tony Hawk Signature Series. Tony juga menjadi hos untuk program bual bicara di radio satelit Sirius XM.

Autobiografi beliau, HAWK-Occupation: Skateboarder adalah buku terlaris keluaran New York Times pada tahun 2000.

Foto : barnes And Noble

Selain menjadikan skateboard sebagai kerjaya, Tony tidak melupakan tanggungjawab sosial. Beliau juga terlibat dengan kerja-kerja amal melalui Tony Hawk Foundations. Antara kerja amal yang dilakukannya adalah terlibat secara langsung dalam pembinaan ‘skateboard park’ di Amerika Syarikat.

Melalui yayasannya, beliau menyediakan bantuan kepakaran dan juga grant untuk membantu membina tempat meluncur terutamanya bagi kawasan-kawasan yang penduduknya berpendapatan rendah. Sehingga kini Tony Hawk Foundations telah membelanjakan USD5.2 juta dan membina 556 ‘skatepark’ di serluruh Amerika Syarikat.

Tujuan utamanya adalah untuk menyediakan tempat yang selamat kepada peluncur skateboard. ‘Skatepark’ yang dibina Tony Hawk Foundations telah memberikan peluang dan ruang meluncur yang selamat untuk sekurang-kurangnya 4.8 juta kanak-kanak setahun.

Foto : Trib Local

Tony Hawk juga telah memenangi beberapa anugerah seperti Make-A-Wish’s Favorite Male Athlete, Teen Choice Awards’ Choice Male Athlete and Nickelodeon’s Kid’s Choice Awards’ Favorite Male Athlete dan mengenepikan beberapa ikon sukan lain seperti Shaquille O’Neal, Tiger Woods, and Kobe Bryant.

Berdasarkan kesemua pencapaian tersebut, Tony Hawk adalah tokoh sukan aksi yang paling diiktiraf dan dikenali dunia dari Amerika Syarikat.

Sumber

1. TonyHawk.com
2. Britanica.com
3. Biography.com

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.