Tolak Tepi Permusuhan, Rossi Kagumi Marc Marquez Hampiri Musim Hampir Sempurna

Legenda MotoGP, Valentino Rossi mengenepikan isu perseteruan, dan memuji prestasi Marc Marquez.

Rossi memuji musuh utamanya itu sebagai luar biasa pada musim ini dan menyifatkan Marc Marquez ‘hampir sempurna’ pada musim ini.

Marquez semakin menghampiri kejuaraan ke-6 beliau, hanya 27 mata sahaja beliau perlukan daripada baki 5 perlumbaan lagi.

Secara matematik, Marquez adalah juara menunggu, dan amat sukar untuk pencabar terdekat, yang jauh beza mata, Andrea Dovizioso mengejarnya.

Pelumba Honda itu boleh mengesahkan kejuaraan beliau di Buriram pada hujung minggu ini jika mengutip lebih 2 mata daripada pelumba Ducati,  Dovizioso.

Selain daripada perlumbaan di Austin, di mana beliau terlibat kemalangan walaupun sedang medahului, Marquez kemudiannya menamatkan 13 perlumbaan, tidak lari daripada 2 tempat teratas, sama ada yang pertama ataupun kedua.

Lantaran itu, Rossi memuji prestasi luar biasa Marquez.

“Saya rasa ini adalah musim terbaik beliau dalam MotoGP, bersama dengan musim 2014,” tegas Rossi.

“Daripada musim pertama di MotoGP lagi beliau sangat laju. Pada hari ini beliau di kemuncak karier, dan beliau masih sangat muda, sangat berpengalaman serta sudah mencapai tahap tertinggi dalam kariernya.”

“Perasaan ke atas motosikal ini ibarat perkahwinan. Kadangkala, motosikal anda tahun ini baik, tahun berikutnya tidak baik, kadangkala ianya banyak masalah, kadangkala kurang masalah.”

“Beliau memenangi banyak sekali perlumbaan dan sentiasa menamatkan saingan di dua tempat teratas kecuali di Austin, di mana beliau melakukan kesilapan. Dan saya rasa mungkin juga,masalah itu adalah pada jentera beliau.”

“Saya berpendapat Marc Marquez sangat hampir dengan musim hampir sempurna untuk beliau.”

Rossi mengakui beliau kerap tidak sehaluan dengan Marquez. Namun atas semangat kesukanan, Rossi menegaskan beliau sentiasa tiada masalah mengucapkan tahniah kepada Marquez setiap kali pelumba itu memenangi kejuaraan, termasuk musim ini.

Rossi juga menyatakan beliau sendiri pernah menikmati musim yang hampir sempurna. Namun mengakui, musim sempurna itu tidak akan wujud dalam sukan MotoGP. Amat sukar seorang pelumba menamatkan semua perlumbaan di tangga pertama.

Ini kerana, sukan permotoran ini bukan sahaja berkenaan dengan kecekapan pelumba tetapi melibatkan aspek kejuruteraan, mekanikal, cuaca dan sebagainya.

Sumber

Autosports

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.