TMJ mememberikan bayangan yang baginda akan melepaskan jawatan selaku Presiden FAM. Ini selepas kejatuhan ranking skuad Harimau Malaya kepada ranking 178 sebentar tadi.
TMJ tetap menganggap baginda sudah berjaya mencapai hasrat utama baginda seperti mana yang baginda war-warkan sebelum menjadi Presiden dahulu.
Baginda mahu meningkatkan pendapatan pasukan dalam Liga Malaysia menerusi peningkatan hak penyiaran. Baginda juga sudah melakukan yang terbaik untuk mengadaptasi model pengurusan dari Eropah terutama La Liga.
“Sepanjang saya menjadi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), saya telah memperbetulkan struktur bola sepak tanah air, menarik para penaja untuk menyumbang kepada bolasepak negara dan menyediakan pelan jangka panjang untuk bola sepak negara seperti melakukan kerjasama bersama LaLiga.”
“Saya juga telah memperjuangkan hak penyiaran untuk kesemua pasukan bertanding di Liga Malaysia untuk meningkatkan kestabilan kewangan.”
Oleh kerana hak penyiaran yang tinggi, baginda berjaya mengurangkan kebergantungan pasukan kepada dana kerajaan negeri yang disifatkan baginda sebagai wang rakyat.
“Ini adalah satu sejarah dalam bola sepak tanah air apabila kali pertama setiap pasukan bertanding telah menerima sebanyak RM1 juta hingga RM3 juta setahun untuk wang hak penyiaran dimana setiap pasukan tidak lagi menggunakan duit rakyat daripada Kerajaan.”
Beberapa kejayaan manis dilakar oleh pasukan belia dan juga remaja sepanjang pentadbiran baginda setakat ini. Baginda pernah menyatakan golongan ini adalah fokus utama baginda kerana generasi pemain senior yang sedia ada sudah tamat.
“Dalam pada itu, skuad B23, B19 dan B16 telah berjaya melakar sejarah buat pertama kalinya mewakili negara dalam pertandingan peringkat tertinggi di Asia.”
Kemerosotan ranking Malaysia 3 anak tangga sebentar tadi dianggap satu tamparan hebat kepada baginda.
“Baru-baru ini ranking pasukan kebangsaan telah jatuh 3 anak tangga dan ini merupakan satu kegagalan yang amat besar!”
“Oleh itu, saya rasa Presiden FAM harus letak jawatan. Terima kasih untuk segala galanya dan ia telah menjadi satu penghormatan untuk berkhidmat kepada bolasepak Malaysia. Selamat maju jaya.”
Baginda turut memberitahu penyokong JDT, dan keluarga baginda bahawa ‘ayah’ dalam perjalanan balik ke ‘rumah.’