TMJ Akui JDT Terlepas Peluang Dapatkan Khidmat Bekas Bintang AC Milan

Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) mendedahkan juara Liga Super Malaysia (MSL) tujuh kali berturut-turut itu pernah terlepas peluang untuk memancing khidmat bintang Brazil, Alexandre Pato.

Perkara tersebut didedahkan secara eksklusif oleh TMJ sendiri dalam satu rancangan bual bicara bersama Hafizal Hamad iaitu Bola Mamak terbitan Astro Arena pada malam tadi.

JDT adalah sebuah kelab yang memiliki nilai tersendiri di dalam peta bola sepak dunia, dan pernah membawa masuk beberapa pemain import berprofil tinggi terutama dari negara Amerika Selatan.

Antaranya pemain berprofil tinggi yang pernah menabur khidmat bersama JDT ialah dua bekas pemain antarabangsa Argentina, Pablo Aimar dan Luciano Figueroa.

Ketika berbicara kepada Hafizal Hamad, TMJ dipetik sebagai berkata:

“Sebagai contoh semalam saya terlepas nak sign Alexandre Pato. Saya cuba juga nak dapatkan nama besar kerana kerana masa itu harganya $1.8 – 1.9 juta. Ok ada can ni, ada bajet.

“Lepas itu ada kelab dari UAE offer [tawarkan] dia $2.2 – 2.3 million, terlepas. Tapi apa nak buat. Mula-mula ada perbincangan dan selepas itu dia pergi ke UAE. Offer yang lebih baik dan main bola di sana.”

Berdasarkan apa yang dikatakan oleh TMJ ini, ia bermakna JDT berusaha untuk mendapatkan khidmat Pato untuk saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Pato kini berusia 31 tahun pernah beraksi bersama beberapa kelab ternama di Eropah, dan paling dikenang ketika tempoh beliau bersama AC Milan.

Pernah dianggap sebagai salah seorang pemain muda berbakat besar satu ketika dahulu, Pato pernah bergandingan dengan bintang AC Milan yang lain seperti Ronaldo Nazario dan juga Kaka pada ketika itu.

Enam musim beraksi bersama Milan, Pato kemudiannya kembali ke Brazil bersama Corinthians selain turut pernah beraksi bersama Chelsea dan Villareal secara pinjaman.

Menariknya, pemain ini turut mempunyai pengalaman beraksi di Asia apabila menyertai Tianjin Tianhai di Liga Super China (CSL) pada 2017 dan beraksi bersama kelab itu selama tiga tahun.

Bersama pasukan negaranya pula, Pato pernah melakukan 23 penampilan di peringkat senior dan merupakan salah seorang anggota skuad Olimpik Brazil yang memenangi pingat perak selepas tewas 2-1 kepada Mexico di perlawanan akhir.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.