Tindakan Dortmund Membiarkan Bender Menjaringkan Gol Membuat Peminat Beremosi

Penjaga gol Borussia Dortmund, Roman Burki telah menunjukkan kemuliaan hatinya dengan memberi penghormatan kepada Lars Bender untuk menjaringkan gol sebagai hadiah persaraannya.

Lars Bender dengan tidak diduga telah diturunkan dalam aksi saingan Bundesliga malam semalam dan ia merupakan perlawanan perpisahan untuknya.

Pemain midfield Bayer Leverkusen yang ketika ini berusia 32 tahun itu sudah mengumumkan untuk bersara kerana masalah kecederaan lutut yang tidak membolehkan beliau untuk terus beraksi lagi.

Lars Bender ketika diturunkan beraksi bertemu Borussia Dortmund malam semalam, sebenarnya masih dibelenggu kecederaan dan kerana itulah beliau hanya dimasukkan pada minit ke-89 permainan.

Langkah kanan untuk Lars Bender selepas beliau berjaya menjaringkan gol untuk Bayer Leverkusen walau hanya diberikan dua minit sahaja untuk mengucapkan selamat tinggal kepada dunia bola sepak.

Kembali pada Disember tahun lalu, Lars Bender telah mengumumkan untuk mengakhiri kariernya bersama adik kembarnya Sven Bender.

Dan ketika beliau mengalami kecederaan lutut yang agak parah, maka kedua-dua adik beradik kembar itu memutuskan untuk bersara dari dunia bola sepak pada penghujung musim ini.

Beliau sempat menjalani beberapa pembedahan berkait kecederaan yang dialaminya namun ia masih jelas menunjukkan Lars Bender sudah tidak boleh bermain lagi.

Bayer Leverkusen telah dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-89 permainan, dan kerana itulah Lars Bender dimasukkan untuk mengambil sepakan penalti tersebut.

Beliau dimasukkan dan digantikan dengan adik kembarnya, Sven Bender sebelum mengambil sepakan penalti yang telah dihadiahkan kepada Bayer Leverkusen.

Bender jelas masih belum pulih sepenuhnya dengan beliau kelihatan sukar untuk berjalan ketika masuk ke padang.

Pemain kebangsaan Jerman itu cemerlang menyempurnakan sepakan penalti tersebut dengan memilih untuk menendang ke sudut sebelah kiri gawang.

Apa yang lebih menarik lagi, beliau telah dibantu oleh Roman Burki dengan penjaga gol Borussia Dortmund itu sama sekali tidak bergerak untuk menyelamatkan sepakan penalti tersebut.

Sebaik berjaya menjaringkan gol, Bender pergi ke arah Burki lalu memeluknya sebagai tanda terima kasih dan ia boleh dianggap sebagai salah satu detik paling beremosi dalam sejarah Bundesliga.

Bender yang telah beraksi sebanyak 342 perlawanan untuk Leverkusen telah mengucapkan selamat tinggal kepada dunia bola sepak dengan cukup bergaya.

“Sebuah kelab bola sepak adalah sesuatu yang menunjukkan bagaimana kehidupan dalam kalangan masyarakat.”

Jelas Bender selepas tamat perlawanan.

“Ia tidak kira siapa yang ada di sebelah kamu, apa rupa kamu, apa agama kamu, apa pandangan kamu, atau apa budaya kamu bawa. Kamu harus lakukannya bersama-sama dan tidak ada yang boleh memisahkan itu. Itulah pesanan yang mahu saya sampaikan.”

Bender kemudiannya menjelaskan perancangan pendek berkait masa depan beliau selepas ini dengan menyatakan:

“Pertama sekali saya mahu pergi bercuti, duduk santai dan minum beers.”

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.