Tiga Pemain Yang Bakal Memecahkan Rekod Perpindahan Tertinggi

Pakar perpindahan, Fabrizio Romano percaya bahawa Erling Haaland, Lautaro Martinez dan Kylian Mbappe adalah tiga pemain yang mungkin akan memecahkan rekod pemain termahal di masa akan datang.

Ketika ini pemegang rekod untuk pemain termahal dalam sejarah bola sepak dunia adalah Neymar yang di beli dengan nilai £198 juta oleh Paris Saint Germain dari Barcelona.

Sejak dari pembelian Neymar tiga tahun lalu itu, nilai pasaran pemain dalam saingan bola sepak Eropah naik mendadak namun tidak ada yang melepasi nilai £198 juta itu.

Walau bagaimanapun, dengan beberapa bakat muda yang semakin meningkat naik dan bakal bersinar menjadi bintang kelak, tidak mustahil rekod perpindahan termahal itu akan dipecahkan.

Haaland kini baru berusia 20 tahun tetapi beliau sudah mempamerkan aksi sungguh mengagumkan baik untuk kelab mahupun Negaranya.

Erling Haaland berjaya menjaringkan 18 gol dari 20 penampilannya untuk Borussia Dortmund sejak ketibaannya pada Januari lalu.

Bintang Inter Milan, Lautaro Martinez pula kini dikaitkan dengan perpindahan mega ke Barcelona selepas mempamerkan aksi mantap di pentas saingan Serie A.

Sementara pemenang Piala Dunia bersama Perancis, Kylian Mbappe pula sudah berada di kedudukan kedua dalam senarai pemain termahal di belakang Neymar.

Mbappe telah ditandatangani oleh Paris Saint Germain dari Monaco dengan nilai perpindahan £166 juta.

Dan Romano yang dilihat sebagai salah seorang sumber berkaitan perpindahan pemain, mendakwa bahawa tiga pemain itu akan mencipta sejarah mereka tersendiri dalam beberapa tahun akan datang.

“Saya rasa pemain seperti Erling Haaland, seorang yang masih sangat muda dan beliau sudah ditandatangani dengan nilai €25 juta, dia juga ada klausa perlepasan bernilai €75 juta, dia mampu pecahkan rekod.”

Jelas Fabrizio Romano kepada SPORTbible.

“Sekiranya perlu memilih seseorang, saya akan pilih dia kerana saya suka dia sebagai seorang pemain, gaya beserta pemikiran dia. Dia merupakan mesin, sebuah robot.”

“Saya suka dia dan saya yakin dia merupakan penyerang masa depan. Ketika ini kita tidak jumpa mana-mana penyerang muda yang handal selain Haaland dan Lautaro Martinez. Saya yakin mereka akan pecahkan rekod Neymar satu hari nanti.”

“Ejen kepada Haaland, Mino Raiola juga merupakan seorang ejen yang luar biasa hebat, dan dia boleh cuba untuk menjualnya dengan banyak kelab. Saya juga harus sebut tentang Kylian Mbappe, calon pemenang anugerah Ballon d’or.”

“Dia juga seorang yang sangat berpotensi besar untuk memecahkan rekod. Pada pandangan saya Real Madrid akan cuba untuk mendapatkan dia musim depan.”

“Saya rasa Mbappe, Lautaro dan Haaland akan jadi pemain yang bakal memecahkan rekod itu.”

Mbappe sudah berjaya menjaringkan 100 gol dalam kariernya dan juga memenangi Piala Dunia ketika berusia 21 tahun.

Beliau merupakan calon terbaik yang mampu untuk memecahkan rekod Neymar sebagai pemain termahal dalam sejarah bola sepak dunia.

Awal minggu lalu turut ada laporan dari Perancis yang menyatakan bahawa Mbappe kini dalam perundingan bersama Liverpool dan Real Madrid berkait perpindahannya pada musim hadapan.

Hal ini kerana Kylian Mbappe sepertinya tidak akan menandatangani perjanjian baru bersama PSG selepas kontraknya tamat pada tahun 2022.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.