Thomas Meunier Persenda Kapten Liverpool Terlalu Lembik Kerana Dramatik Sangat Nak Penalti

Pemain pertahanan Thomas Meunier meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Jordan Henderson di hadapan kapten England itu sendiri selepas tamat perlawanan UEFA Nations League membabitkan kedua-dua negara.

Malah Meunier bertanggapan kapten Liverpool itu bertindak dramatik untuk mencuri tumpuan pengadil memberikan sepakan yang disempurnakan oleh Marcus Rashford untuk gol penyamaan England.

Henderson adalah penolong kapten kepada kapten England yang sebenar iaitu Harry Kane. Ketiadaan Kane dalam perlawanan ini bermakna Henderson diberikan tanggungjawab oleh Gareth Southgate untuk memimpin skuad The Three Lions di dalam perlawanan ini.

Pasukan pelawat terlebih dahulu berada di hadapan melalui sepakan penalti Romelu Lukaku selepas penyerang Inter Milan itu dibentes oleh Eric Dier di dalam kotak penalti.

England kemudiannya memperolehi sepakan penalti mereka sendiri selepas Meunier dipersalahkan menjatuhkan Henderson ketika diberikan tugasan untuk mengekang pemain tengah itu dari ancaman sepakan sudut.

Pemain pertahanan Borussia Dortmund itu tidak pernah yakin sentuhan terhadap Henderson di bahu akan menyebabkan pemain itu terjatuh dan menjerit kesakitan seperti yang berlaku.

Tanpa VAR, pengadil tidak boleh menyemak kembali situasi tersebut. Marcus Rashford kemudiannya menjadikan kedudukan 1-1 untuk memastikan The Three Lions mengikat Belgium pada babak pertama perlawanan.

Skuad kendalian Gareth Southgate menambah baik prestasi mereka pada babak kedua perlawanan dan berjaya memperolehi gol kemenangan dari anak emas Chelsea, Mason Mount.

Selepas perlawanan, Meunier terus berhadapan dengan Henderson dan berbual panjang mengenai lakonan dramatik kapten paling berjaya dalam sejarah Liverpool itu.

Henderson yang kini berusia 30 tahun juga sebenarnya seperti tidak berapa pasti sama ada penalti sepatutnya diberikan dalam situasi tersebut.

Dalam temuramah bersama wartawan selepas perlawanan, Henderson turut mendapatkan kembali pendapat dari wartawan yang bertanya mengenai penalti itu.

“Saya dapat rasa tarikan dari belakang…. anda setuju tak?” tanya Henderson kepada wartawan sambil tersengih.

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.