Thiago Silva Dan Ben Chilwell Catat Statistik Mengagumkan Bantu Chelsea Benam Palace

Chelsea berjaya peroleh kemenangan kedua dalam saingan liga musim ini selepas membelasah Crystal Palace 4-0 di Stamford Bridge semalam.

Selepas tewas kepada Liverpool dan seri dengan West Brom, skuad kendalian Frank Lampard akhirnya berjaya menemui rentak kemenangan mereka.

Selain Hakim Ziyech yang masih dibelenggu kecederaan, Frank Lampard telah berjaya menggunakan khidmat kesemua penandatanganan barunya untuk hadapi saingan liga musim ini.

Chelsea berjaya membenam Palace 4-0 malam semalam dengan mereka jelas menguasai perlawanan tersebut.

Skuad kendalian Frank Lampard itu membuka tirai jaringan mereka menerusi Ben Chilwell yang berjaya melepaskan rembatan padu menewaskan Guaita.

Kurt Zouma kemudian mengukuhkan penguasaan Chelsea dalam perlawanan ini dengan menjaringkan gol kedua untuk Chelsea.

Selepas mendahului Palace 2-0, Chelsea berjaya memperoleh dua lagi gol menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Jorginho untuk kemenangan 4-0 mereka menewaskan skuad kendalian Roy Hodgson.

Ben Chilwell dan Thiago Silva mencuri tumpuan dalam perlawanan ini selepas kedua-dua pemain itu mempamerkan aksi mantap untuk barisan pertahanan Chelsea.

Ben Chilwell telah dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan selepas berjaya menjaringkan satu gol dan mencatatkan satu assists.

Perlawanan ini juga merupakan debut beliau dalam pentas premier bersama pasukan Chelsea.

Chilwell juga muncul sebagai pemain ketiga dalam sejarah kelab yang berjaya menjaringkan gol dan assists dalam perlawanan debut mereka di pentas premier league.

Deco pernah melakukannya pada tahun 2008 dan Alvaro Morata juga pernah melakukannya pada tahun 2017 yang lalu.

Bekas pemain Leicester City itu turut mencatatkan statistik yang mengagumkan dalam perlawanan ini dengan melakukan 3 hantara bahaya, 3 pintasan, 11 hantaran lintang dan berjaya memenangi 66.7% perebutan di udara.

Beliau juga berjaya untuk menang dalam kesemua duel di atas padang menentang pemain Palace.

Selain dari Chilwell yang mencatatkan statistik hebat, seorang lagi penandatanganan baru Chelsea, Thiago Silva turut melakukan hal yang sama.

Pemain berusia 36 tahun itu dilihat sangat cergas dalam perlawanan ini dan beliau menjalankan tugasnya dengan cukup sempurna.

Selepas debut yang serba tidak menjadi, Silva akhirnya berjaya mendapatkan persembahan terbaiknya dalam perlawanan ini.

Bekas pertahanan PSG itu berjaya melakukan 111 hantaran dengan 107 hantaran tepat. 74 daripadanya pula merupakan hantaran ke depan dengan 70 hantaran tepat ke depan.

Thiago Silva juga berjaya merekodkan lima pemulihan daripada ancaman, dua pintasan dan beliau juga berjaya mengeluarkan bola dari kawasan bahaya sebanyak empat kali.

Dengan pengalaman yang beliau miliki, Silva menjadi pemain penting dalam perebutan bola dan beliau menjadi nadi penting dalam sistem pertahanan Chelsea dalam perlawanan ini.

Impak positif yang diberikan oleh Silva menyebabkan Palace gagal untuk mencatatkan sebarang percubaan tepat sepanjang perlawanan itu.

Para peminat Chelsea pastinya berasa lega selepas melihat aksi mantap yang dipamerkan oleh barisan pemain skuad the blues musim ini.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.