Koresponden dari The Athletic melaporkan bahawa FIFA mahu liga musim ini ditamatkan.
Ternyata ramai yang tak berapa mengerti maksud liga ditamatkan.
Menamatkan liga bermaksud menyelesaikan liga dan ia bukan memansuhkan ataupun membatalkan liga.
Dengan ini FIFA telah mengambil langkah untuk memanjangkan lagi musim 2019/20.
Ini bagi membantu liga di setiap negara dapat ditamatkan dengan sempurna terutama sekali di Eropah.
Menurut The Athletic, FIFA meletakkan keutamaan kepada penamatan musim ini berbanding dengan memulakan musim akan datang.
FIFA nak panjangkan musim
FIFA menyerahkan kepada badan pentadbir liga masing-masing untuk menentukannya dan berbincang dengan pihak kerajaan dan pakar kesihatan.
Bukan itu sahaja, FIFA turut mahu mengkaji semula durasi kontrak pemain yang biasanya berakhir pada 30 Jun.
Ini untuk membolehkan kelab dan pemain terus berunding akan kontrak khas. Kemungkinan besar, ada klausa khas untuk kontrak pemain pada kali ini.
The Athletic melaporkan bahawa FIFA dijangka akan mengumumkan perkara itu dalam masa terdekat, minggu ini.
FIFA komited untuk membantu semua pihak di dalam hal tersebut. Mereka juga menegaskan bahawa, isu keselamatan dan kesihatan akan menjadi perkara paling mustahak untuk dipertimbangkan dalam apa jua keputusan mereka.
Kenyataan FIFA ini menyusul selepas badan pentadbir bola sepak Eropah, UEFA sebelum ini menyatakan mereka mahu liga musim ini ditamatkan bukannya dibatalkan ataupun dimansuh seperti yang dicadangkan Luke Shaw.
Presiden UEFA, Aleksander Ceferin menegaskan adalah sangat penting untuk memastikan musim ini ditamatkan kerana, jika liga dibatalkan, ia akan memberikan kesan yang teruk kepada kewangan banyak pasukan.
UEFA sudah menubuhkan jawatankuasa khas dalam menilai dan menganalisis opsyen yang ada bagi mereka menyelesaikan masalah yang sedang melanda bola sepak Eropah pada ketika ini.
Dalam pada masa yang sama, Aleksander Ceferin juga menzahirkan kekesalan beliau ke atas laporan ZDF di Jerman yang menyatakan Ceferin meletakkan tarikh akhir untuk pertandingan UCL dan UEL adalah pada 3 Ogos.
FIFA 'to confirm 2019-20 season will be extended INDEFINITELY' https://t.co/37h4TMNIpi pic.twitter.com/2lUqghzrRO
— MailOnline Sport (@MailSport) April 6, 2020
Seperti juga UEFA, pihak FIFA juga mahu setiap liga tidak panik memikirkan tarikh akhir untuk menyempurnakan liga masing-masing.
UEFA sudah mengosongkan kalendar antarabangsa dan menunda kejohanan EURO 2020 ke tahun 2021.
Seterusnya, FIFA juga tidak memberikan sebarang tarikh khusus untuk liga bersambung semula ataupun bila ia ditamatkan.
FIFA to extend 2019-20 football season indefinitely | @Simon_Hughes__ https://t.co/6e1AhFIdvV
— The Athletic UK (@TheAthleticUK) April 6, 2020
FIFA memberikan kebebasan kepada pentadbir liga di setiap negara dengan mematuhi arahan keselamatan serta memastikan isu kesihatan semua pihak diambil kira.
Beberapa perlawanan antarabangsa juga dibatalkan dan ditangguhkan kerana mahu memberikan laluan kepada liga domestik akan diselesaikan.
Tetapi ketika ini, semua liga masih lagi ditangguhkan, berikutan wabak koronavirus yang melanda dunia pada hari ini.
Banyak negara masih dalam lockdown dan melarang sebarang perhimpunan yang besar.
Beberapa hari lalu, pihak Liga Perdana Inggeris juga sudah berikrar bahawa liga musim ini akan diteruskan walaupun tarikh ia bersambung masih belum diketahui.
Dalam pada masa yang sama Premier League memberikan suntikan dana kepada liga bawahan yang sangat terkesan dengan kerugian kerana koronavirus.