Tan Cheng Hoe Jadi Pilihan FAM Ganti Nelo Vingada

Jawatan ketua jurulatih skuad Harimau Malaya telah dikosongkan dengan perletakan jawatan The Professor, Nelo Vingada. FAM menerima perletakan jawatan itu.

Sebentar tadi, FAM mengumum kan perlantikan penolong Nelo Vingada, Tan Cheng Hoe untuk menggalas tugas sebagai jurulatih skuad Malaysia yang baharu.

Tiada informasi lanjut tentang durasi kontrak Tan Cheng Hoe, namun Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin menyatakan jawatan itu bukan interim ataupun caretaker.

https://www.facebook.com/FAMalaysiaOfficial/photos/a.522243597872409.1073741861.340566959373408/1504004163029676/?type=3&theater

Tan Cheng Hoe memiliki pengalaman menjadi pembantu jurulatih skuad kebangsaan sebanyak 2 kali. Pertamanya ketika era K. Rajagobal. Dan yang kedua adalah ketika menjadi pembantu Nelo Vingada.

Prestasi cemerlang Tan Cheng Hoe bersama dengan dengan pasukan Kedah telah mencuri perhatian Presiden baru FAM, Tunku Ismail Idris ataupun lebih dikenali dengan panggilan TMJ.

Tan Cheng Hoe berjaya membawa Kedah kembali ke Liga Super 2016 dengan menjuarai Liga Perdana 2015. Pada tahun yang sama juga Tan Cheng Hoe membawa Kedah ke final Piala Malaysia 2015 dan menjadi naib juara Piala Malaysia dengan status pasukan Liga Perdana.

Pada musim 2016, Tan Cheng Hoe membantu Kedah menjuarai Piala Malaysia. Seterusnya, kejayaan memenangi Piala Sumbangsih pada 2017.

Selepas TMJ sah menjadi Presiden FAM, Tan Cheng Hoe telah tertarik untuk menyertai pasukan kebangsaan. Dan TMJ sendiri merasakan Tan Cheng Hoe adalah jurulatih tempatan terbaik pada ketika ini.

Beliau adalah prospek yang sangat baik selepas pencapaian beliau dalam masa yang singkat bersama-sama dengan pasukan Kedah.

Pendekatan taktikal yang moden dan memberikan kebebasan kepada pemain untuk lebih bermain bola di dalam padang telah mengubah landskap dan corak taktikal pasukan Kedah.

Kedah coach, Tan Cheng Hoe during Final match TM Malaysia Cup 2016 between Kedah and Selangor at Shah Alam Stadium on October 30 2016. Photo by Dzulfadlil Azim / www.asiana.my

Tan Cheng Hoe melepaskan jawatan beliau di Kedah untuk menjadi pembantu jurulatih kebangsaan yang awalnya mahu diberikan kepada Mario Gomez. Tan Cheng Hoe menganggap panggilan negara sudah berbunyi dan beliau mahu menyahutnya.

Selepas Mario Gomez gagal memuktamadkan perjanjian dengan FAM, TMJ telah melantik Nelo Vingada. Vingada membawa beberapa staf kejurulatihan beliau dan setuju dengan syarat FAM yang mahukan seorang anak tempatan menjadi pembantu jurulatih.

Tan Cheng Hoe banyak membantu Vingada dalam proses untuk ‘berkenalan’ dengan bola sepak di Malaysia.

Selepas prestasi hambar skuad Malaysia dan gagal menang sebarang perlawanan sejak diambil alih oleh Nelo Vingada, peminat bola sepak Malaysia mulai resah. Malaysia jatuh ke ranking ke-170 buat pertama kali dan kemudiannya jatuh lagi ke rangking ke-174.

7 perlawanan diharungi Vingada tanpa sebarang kemenangan dan hanya seri satu perlawanan menentang Hong Kong. Perlawanan yang Malaysia hampir kalah, mujurlah Hafizul Hakim menyelamatkan penalti masa kecederaan pasukan Hong Kong.

Dalam 2 pertemuan menentang Korea Utara di gelanggang berkecuali di Thailand, Malaysia tewas 2 perlawanan dengan jaringan yang sama 4-1.

Vingada rasa bertanggungjawab dengan prestasi semasa pasukan Malaysia dan beliau mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan.

Tan Cheng Hoe akan memulakan tugas beliau serta merta. Dan buat masa ini, jadual antarabangsa yang sudah ditetapkan adalah menentang Lebanon pada Mac 2018 nanti dalam saingan kelayakan Piala Asia.

Tahniah kepada Tan Cheng Hoe. Semoga mampu memperbaiki prestasi skuad Malaysia dan menggunakan kesempatan yang ada membuktikan kemampuan beliau.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.