Tak Jadi Tarik Diri, Liverpool Akan Pecah Dua Pasukan

Sebelum ini Liverpool mengancam untuk menarik diri daripada Piala Carabao jika jadual perlawanan tersebut terlalu dekat dengan Piala Dunia Kelab FIFA (FCWC).

Jurgen Klopp juga mencadangkan mungkin Arsenal boleh menggantikan mereka di suku akhir.

Ini kerana menurut Klopp sebelum aksi Liverpool dan Arsenal, pastinya ramai pegawai yang menguruskan jadual berharap Arsenal yang akan mara, supaya tak pening melayan karenah Liverpool untuk meminta perubahan pada jadual.

EFL mengeluarkan jadual bahawa Liverpool akan berhadapan dengan Aston Villa pada 17 Disember yang akan datang. Ini bermaksud ianya kurang 24 jam daripada aksi Piala Kelab dunia yang akan berlangsung di Qatar.

Liverpool mara ke suku akhir Piala Carabao selepas menyingkirkan Arsenal. Perlawanan ketika itu seri lima sama. Namun Liverpool menang menerusi penentuan penalti.

Liverpool mendapat jemputan oleh FIFA untuk menyertai Piala Kelab Dunia kerana seperti biasa, juara Eropah akan mendapat slot beraksi dalam piala tersebut.

Liverpool menjadi juara Eropah buat kali keenam selepas menewaskan Spurs dalam aksi final UCL pada musim lalu.

Akibat berlaku kerumitan pada jadual mereka, Liverpool memutuskan untuk memecahkan skuad mereka kepada dua.

Ada pemain akan terbang ke Qatar dan ada pemain yang akan tinggal di Anfield untuk bermain dalam Piala Carabao.

Liverpool mengesahkan perkara itu menerusi sidang media rasmi mereka dan menganggap mereka terpaksa berbuat demikian untuk menghormati pertandingan.

Sebelum ini Jurgen Klopp meminta pengurusan jadual bola sepak Inggeris untuk memikirkan cara terbaik untuk memastikan jadual itu tidak terlalu padat.

Namun ternyata permintaan Klopp itu tidak dilayan dan EFL meneruskan jadual yang telah mereka rancang.

Piala Kelab Dunia merupakan piala yang masih belum ada dalam koleksi pasukan Liverpool. Mereka berpeluang untuk menambahnya dalam kabinet piala mereka pada Disember ini.

Ini merupakan tahun akhir Piala Kelab Dunia menggunakan format yang sedia ada. Ini kerana selepas ini, ia akan menggunakan format yang baharu.

ย 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.