Sumareh Akan Sertai JDT Dengan Syarat

Pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh hanya akan menyertai JDT untuk saingan Liga Malaysia 2021 dengan syarat.

Penyerang sayap Harimau Malaya itu sebelum ini mencetuskan kontroversi kerana bertindak meninggalkan Pahang FA walaupun masih mempunyai baki kontrak setahun bersama pasukan itu.

Setelah tidak menghadirkan diri ke sesi latihan dan beberapa perlawanan Liga Malaysia yang disambung semula pada Oktober lalu, Sumareh kemudiannya bertindak menyertai Police Tero FC.

Tindakan Sumareh itu dikatakan berkaitan dengan bayaran gaji yang tertangguh oleh Persatuan Bola Sepak Pahang (Pahang FA).

Tindakan tersebut bagaimana pun dinafikan oleh Pahang FA yang turut menuduh Sumareh sebenarnya sudah tidak ada hati bermain bersama pasukan itu dan mahu menyertai pasukan lain.

Dalam satu program bual bicara bola sepak di rancangan Bola Mamak terbitan Astro Arena, pemilik JDT, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) turut tidak lari dari ditanya oleh hos rancangan Hafizal Hamad mengenai kedudukan pemain itu yang turut dikaitkan dengan juara Liga Super itu.

Tanpa berselindung, TMJ menyatakan minat untuk mendapatkan pemain kelahiran Gambia itu untuk menguatkan bahagian sayap kanan pasukan untuk musim hadapan.

Baginda terlebih dahulu perlu mendapatkan restu dari Tengku Muda Pahang untuk menandatangani pemain berkenaan.

“Jikalau Sumareh nak balik, saya kena berbual dengan Pahang dahulu,” jawab TMJ kepada Hafizal.

“Saya pun tadi telah bertanya dengan Tuanku Tengku Muda Pahang. Jikalau dia bersetuju, saya proceed.

“Jikalau tidak, saya tak berbuat apa-apa. Saya minta respek, minta hormat dari dia (Tengku Muda Pahang).”

Dalam perkembanga berkaitan, Pahang FA dikatakan masih menunggu keputusan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), berhubung status pemain naturalisasi negara Mohamadou Sumareh, yang bertindak menamatkan kontrak dengan pasukan berkenaan pada musim ini kerana mendakwa tidak dibayar gaji.

“Kita cari titik penyelesaian terbaik untuk kedua-dua pihak (PBNP dan Sumareh), kita tidak mahu kemelut ini berlaku lagi (sehingga) menjadi satu fenomena yang besar dalam negara sebab isu Sumareh,” kata pengurus pasukan Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang kepada Bernama, baru-baru ini.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.