Chinlone, Sukan ‘Pelik’ Yang Pernah Dimainkan Supa Strikas!

Emas pertama Sukan SEA untuk kontinjen Malaysia hadir dari sukan sepaktakraw chinlone. Lalu ramai peminat yang bertanya, sukan apakah yang ‘pelik’ ini?

Ada juga yang memperlekehkan sukan ini sebagai bahan jenaka. Tanpa mereka sedari sukan ini memang untuk hiburan dengan seni artistik di kaki berbanding dengan sukan kompetitif yang lain.

Pelik?

Ramai peminat sentiasa kurang ambil kisah tentang beberapa sukan di dalam temasya Sukan SEA kerana mereka beranggapan ia sukan yang diwujudkan oleh tuan rumah untuk kelebihan mendapatkan emas.

Namun begitu, harus diingat yang sukan chinlone ini bukannya berasal dari Malaysia meskipun ia mirip kepada sepak raga dalam bulatan.

Sukan SEA juga seperti Sukan Asia di mana negara hos boleh memilih beberapa jenis sukan tradisi untuk dimasukkan ke dalam acara.

Chinlone antara sukan tradisi yang dipertandingkan dalam Sukan SEA 2017 di bawah cabang sepaktakraw.

Sukan ini sudah dipertandingkan dalam temasya Sukan SEA 2013 Naypyidaw, Myanmar dan juga Sukan SEA Singapura 2015. Jadi, tuduhan peminat menyatakan Malaysia anjurkan kejohanan ini kerana kelebihan emas adalah tidak tepat.

Penganjuran acara ini lebih kepada atas dasar ASEAN.

Apa itu sukan sepaktakraw chinlone?

Ianya sejenis sukan dari Burma yang kini digelar Myanmar. Sukan ini menggabungkan sukan dan juga seni tarian. Jadi, selain daripada kemahiran mengawal bola, para pemain haruslah ada kreativiti untuk memukau juri.

Bola yang digunakan adalah sama dengan bola takraw. Dahulu ianya juga menggunakan bola rotan sama dengan sepaktakraw tradisional.

Sejarah sukan ini bermula di Burma sekitar tahun 1500. Ianya menjadi sukan untuk menghiburkan raja.

Pada hari ini lebih 200 skil ‘contact’ ke atas bola dicipta oleh pemain-pemain chinlone. Antara yang paling menarik adalah sentuhan di belakang yang digelar ‘blind contact’.

Ianya digelar “caneball” dalam Bahasa Inggeris. Permainan ini melibatkan 6 pemain yang akan menimang bola ataupun melakukan ‘keepy uppy’.

Dahulu, bunyi yang dihasilkan oleh bola rotan itu juga menjadi antara penyeri permainan ini. Bola itu akan dihantar secara bergilir-gilir kepada pemain-pemain yang ada.

Seorang pemain akan pergi ke bulatan tengah untuk mempamerkan aksi solo. Pemain-pemain yang lain di luar bulatan tengah itu akan memberikan semangat kepada rakan mereka dengan kreativiti sorakan mereka.

Pusingan dikira tamat apabila bola mencecah tanah/gelanggang.

Pada asalnya permainan ini dimainkan dengan kaki ayam. Namun perkembangan sukan moden membuatkan ia dimainkan dengan kasut yang sesuai.

SUPA STRIKAS BERMAIN CHINLONE

Sukan ini sebenarnya sangat membantu jika anda seorang pemain bola sepak. Ini kerana bola sepak menjadikan ‘keepy uppy’ sebagai rutin yang penting untuk pemain menguasai (mastery) bola.

Dalam episod Supa Strikas, pemain-pemain mereka menggunakan Chinlone untuk membantu mereka meningkatkan penguasaan kawalan bola.

Episod penuh anda boleh tonton di sini:

Mungkinkah suatu hari nanti Chinlone akan dimainkan ala Supa Strikas dengan gerakan ala seorang penari ‘break dance’.

RUJUKAN

Myanmar Insider

Top End Sport

Wikipedia

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.