Suebsak Phuensub, Pencipta Seni Servis Kuda Dalam Sepaktakraw

Leo Maestro 2 tahun yang lalu

Sebelum era Thailand menguasai dunia sepaktakraw. Malaysia adalah negara badi bagi mereka. Mereka gagal dan gagal untuk menandingi kehebatan Malaysia. Baik dari segi serve, serangan ataupun pertahanan.

Thailand mula menyepi dah mencipta satu kekuatan sehingga kini adalah resipi kejayaan mereka iaitu servis kuda.

Suebsak Phunsueb dianggap pemain sepaktakraw terbaik sepanjang zaman. Beliau adalah Pele di lapangan sepaktakraw.

Suebsak lahir pada 14 Disember 1977 di Ratchaburi Thailand. Memulakan karier sepaktakraw beliau seawal usia 10 tahun. Pada usia remaja, bakat istimewa Suebsak terus berkembang.

Jika Ronaldinho popular dengan inovasi no look pass dan bermacam skil lagi, Suebsak pula menggegarkan dunia sepaktakraw dengan servis kuda ataupun horse-kick serve.

Dahulu, tekong biasanya berkarakter lebih tenang di dalam gelanggang. Namun Suebsak telah menjadikan dirinya sebagai tekong yang lebih liar bersifat ‘killer’ pertama dengan servis beliau.

Servis ini bersifat seperti spike. Namun ia sangat deras. Dianggap sebagai salah satu teknik ‘killer’ yang paling bahaya. Bola sepaktakraw akan direjam dengan bahagian kekura (sole) kaki.

Ketika servis ini mula digunakan oleh Thailand, pihak lawan mereka terkejut dan ramai yang tewas dengan rasa kecewa kerana tidak sangka yang inovasi seperti ini wujud di muka bumi.

Selepas itu, servis kuda ini menjadi salah satu silibus yang wajib dilatih di dalam kem sepaktakraw pasukan lain. Paling mustahak adalah cara untuk bertahan ketika menerima servis ini.

Malaysia sendiri mulai memperkemaskan tekong mereka dengan servis kuda. Namun Suebsak ternyata di kelas tersendiri.

Sangat sukar untuk mengembalikan servis ini. Anda bayangkan kelajuan bola yang direjam terus oleh Suebsak dengan teknik ini secara purata pada kadar kelajuan 160 km/j. Ataupun tiba di gelanggang lawan pada purata 0.4 saat.

Hampir tidak ada masa untuk pemain lawan mengelipkan mata mereka ketika Suebsak melancarkan roket ini.

Tidak kurang juga ramai yang membantah penggunaan servis kuda ini dan meminta ia diharamkan. Ada yang meminta tekong tidak boleh menghayun kaki melebihi kepala untuk memastikan servis kuda ini diharamkan.

Mereka berpendapat, servis kuda membuatkan sepaktakraw menjadi bosan. Hanya sedikit aksi di dalam gelanggang. Terlalu banyak servis yang menghasilkan mata ataupun ace.

Persatuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) tidak melayan bantahan ini kerana sebelum servis kuda ini, memang sudah ada banyak tekong menggunakan servis berbentuk spike tajam dengan kaki diangkat tinggi.

Suebsak Menakluk Dunia Dengan Servis Kuda

Servis ini pertama kali digunakan oleh Suebsak pada Sukan SEA Jakarta 1997. Ketika itu ramai terkejut dan takjub dengan servis ini.

Pada Sukan Asia 1998, Thailand hampir mempersiapkan semua tekong mereka dengan servis kuda.

Dalam acara berpasukan, Malaysia tewas mudah 0-3, setelah ketiga-tiga regu Malaysia mudah dijinakkan oleh Thailand dalam straight set.

Kebanyakan mata yang dikutip oleh Thailand berpunca daripada senjata istimewa mereka iaitu servis kuda yang menghasilkan banyak ace. Ace merujuk kepada servis yang menghasilkan mata secarang terus.

Dalam perlawanan akhir Sukan Asia 1998 tersebut, Suebsak berjaya melakukan 19 ace melalui servis kuda beliau. Sebelum ini, purata seorang tekong melakukan servis ace untuk satu perlawanan adalah 7-10.

19 adalah angka yang sangat besar. Daripada 30 mata yang dipertaruhkan dalam 2 set 19 daripadanya daripada ace kerana servis kuda oleh Seubsak.

Jurulatih Malaysia ketika itu, Azizuddin Khan Omar Khan berkata:

“Kita pertama kali melihat servis seperti itu dua tahun lepas dan dipergunakan sepenuhnya oleh Thailand ketika mengalahkan Malaysia pada Sukan SEA Jakarta tahun lepas (1997).”

Kem Malaysia sudah mempersiapkan diri sebaik mungkin untuk menghadapi servis ini, namun masih tiada kaedah terbaik ditemui ketika itu.

Lalu, Malaysia dan negara-negara lain mengambil pendekatan untuk berlatih melakukan servis kuda dan cara menyambutnya.

Suebsak Tekong Fenomena

Itulah kisah servis kuda yang diilhamkan oleh Seubsak. Servis kuda kemudiannya menjadi sebahagian seni tekong yang diaplikasi ramai tekong di seluruh dunia.

Ketika ini, ancaman dan impak servis kuda ini dapat dikurangkan kerana persediaan dan latihan yang efektif daripada jurulatih dalam menangani servis kuda ini.

Suebsak kini sudah bersara dan beliau pernah berlakon dalam filem berjudul Born To Fight. Beliau menyatakan yang dirinya masih mengabdikan dirinya untuk sepaktakraw.

Suebsak mahu melihat sukan ini suatu hari nanti dimainkan di Olimpik. Beliau memiliki 6 pingat emas dari 3 temasya Sukan Asia.

Sumber

Haretz

Utusan Online


SHARE ()