Spurs Pun Buat U-Turn, Hanya Pengurusan Tertinggi Potong Gaji

Seperti Liverpool, Tottenham juga turut membuat u-turn tidak menggunakan skim yang disediakan kerajaan untuk membayar gaji kakitangan bukan pemain sepanjang tempoh krisis coronavirus ini.

Pada 31 Mac lepas Spurs mengumumkan 550 pemain mereka akan menerima potongan 20% gaji, manakala baki gaji akan dibayar oleh dana tersebut.

Selepas mendapat kritikan dari penyokong sendiri dan pihak lain, keputusan tersebut akhirnya ditarik balik.

Spurs melalui satu kenyataan berkata semua kakitangan bukan pemain mereka akan menerima 100% bayaran gaji pada April dan Mei.

Kenyataan sama turut mengesahkan hanya pihak pengurusan tertinggi kelab akan menerima potongan gaji sepanjang tempoh krisis ini.

Pemotongan turut melibatkan  Pengerusi Kelab, Daniel Levy yang menerima bayaran £7 juta setahun.

Levy dalam kenyataannya berkata pihak kelab kesal akan kebimbangan yang dicetuskan pada saat sukar ini, dan berharap boleh membuatkan penyokong bangga pada masa depan, terutama dengan adanya stadium baru.

Kelab penyokonng Tottenham yang menggesa pengurusan ‘melakukan perkara yang betul’ turut mengucapkan terima kasih atas keputusan tersebut, dan kini mahukan kelab berusaha memulihkan hubungan kelab dengan penyokong.

Spurs bagaimanapun turut berkata perkara mengenai pembayaran gaji ini akan disemak dari semasa ke semasa kerana tempoh penangguhan saingan dan krisis coronavirus ini belum boleh dipastikan berakhir.

Selain Tottenham, Liverpool turut mengambil langkah yang sama menarik balik keputusan menggunakan dana kerajaan untuk membayar gaji kakitangan sebelum ini.

Kedua-dua kelab dikritik hebat oleh penyokong masing-masing yang menyifatkan tindakan tersebut sebagai peyalahgunaan dana tersebut.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.