Skuad Indonesia B-19 ‘Digebuk’ Croatia 7-1, Menpora Pujuk Penyokong Jangan Maki

Skuad Indonesia B-19 di bawah kendalian Shin Tae-Yong mendapat pengajaran berguna dari pasukan Croatia B-19 dalam satu perlawanan persahabatan yang diadakan semalam.

Beraksi di Stadium SRC Mladost, Cakovec, Indonesia bagaimanapun tidak dapat menahan kekalahan besar, apabila tewas 7-1 kepada pasukan tuan rumah.

Pasukan Indonesia B-19 kini sedang melakukan latihan di Eropah sebagai salah satu persiapan pasukan negara itu untuk memberikan cabaran di Kejohanan Piala Dunia B-20, di mana Indonesia menjadi tuan rumah.

Dalam perlawanan tersebut bagaimanapun Indonesia kelihatan gagal bermain dengan baik. Bahkan sepanjang 90 minit perlawanan, Croatia boleh dianggap bermain separuh padang.

Walaupun kecewa, jurulatih dari Korea Selatan bertanggapan kekalahan itu adalah sebahagian daripada proses anak didiknya untuk belajar.

Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia (Menpora), Zainudin Amali pula mahu rakyat Indonesia, khususnya dari kalangan penyokong bola sepak agar bersabar dan tidak pantas memaki barisan pemain muda republik itu.

Menurut Zainudin, kritikan melampau akan melemahkan mental pemain. Beliau juga yakin Shin Tae-Yong belum mempersoalkan hal taktikal, dan lebih menumpukan kepada ketahanan fizikal serta kecergasan pemain beraksi 90 minit perlawanan.

“Kita memang bisa beri masukan [kritik] apa yang kurang di timnas, tapi saya mohon untuk tidak berkomentar negatif. Secara mental, mereka belum stabil seperti (timnas) senior,” kata Zainudin.

“Kemarin Shin Tae-yong benar-benar baru memperhatikan fisik. Pemain jadi belum bicara soal taktik,” jelas Zainudin lagi.

Kekalahan kepada Croatia adalah kekalahan kedua skaud B-19 Indonesia selepas sebelum itu tewas 3-0 kepada Bulgaria.

Skuad kendalian Shin Tae-Yong dijadualkan berhadapan Arab Saudi pada Jumaat hadapan.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.