Jika seorang atlet paralimpik cuba mengaburi mata penganjur untuk bersaing dengan atlet normal dan menang emas, ia dikira satu kisah inspirasi.
Namun jika sebaliknya yang berlaku, atlet normal berpura-pura ada ‘kecacatan’ untuk bersaing di sukan paralimpik dan menang emas, ia adalah penipuan yang memalukan.
Pada tahun 2000, pasukan bola keranjang paralimpik Sepanyol telah melakukan penipuan memalsukan dokumen laporan perubatan para atlet mereka.
Mereka adalah atlet biasa yang sihat mental fizikal tetapi didaftarkan sebagai ada sedikit kecacatan mental. Namun hampir 100% atlet bola keranjang paralimpik mereka tiada masalah kesihatan mental.
Skandal itu terbongkar pada 2013, apabila salah seorang atlet bola keranjang mereka, Carlos Ribagorda telah didapati memiliki daya pemikiran (IQ) yang tinggi. Jauh sekali ada masalah mental.
Ribagorda juga seorang usahawan dan penulis. Beliau sendiri menulis buku tentang skandal itu yang turut melibatkan dirinya.
Selepas terbongkarnya skandal pasukan bola keranjang, ia telah membawa kepada pembongkaran atlet dalam lapangan sukan lain.
Ribagorda menyatakan yang dia sudah bermain untuk pasukan paralimpik Sepanyol selama 2 tahun. Dia dan rakannya berjaya melepasi ujian saringan kesihatan mental untuk beraksi di Sydney, Australia.
Setiap atlet paralimpik yang bertanding seharusnya memiliki IQ kurang daripada 70. Hanya 2 pemain bola keranjang paralimpik Sepanyol sahaja yang beraksi di final menepati syarat itu ketika final perlawanan final bola keranjang.
10 lagi telah didapati memiliki dokumen perubatan palsu. Selepas skandal itu terbongkar, Sepanyol diminta memulangkan semula pingat emas itu dan pasukan mereka.
Ribagorda juga memberitahu yang jurulatih mereka tahu akan segalanya. Ribagorda berkata kepada wartawan sebelum umumkan persaraan beliau:
“Ketika kami mendahului China lebih 30 gol di hadapan, jurulatih kami berkata, pemain-pemain semua, kurangkan sikit gear kita, nanti mereka akan perasan anda semua tiada masalah mental.”
Carlos Ribagorda juga mengakui pakar mental juga sukar untuk mengesahkan keputusan ujian mereka setiap kali ada pihak cuba untuk mempertikaikan keputusan ujian.
Cara ini juga antara yang dilakukan oleh pasukan Sepanyol untuk memastikan atlet mereka diberikan sijil yang mengesahkan mereka ada masalah kesihatan mental.
“Jika ada orang yang benar-benar mahu menipu mereka (doktor), sukar untuk mereka menyatakan orang itu tidak ada masalah mental.”
“Saya boleh sahaja menurunkan tahap kecerdasan saya tetapi sukar untuk melakukan perkara sebaliknya.”
Selain daripada atlet bola keranjang, 2 lagi perenang serta seorang pemain tenis paralimpik Sepanyol juga didapati melakukan kesalahan yang sama.
Tidak lama kemudian, kontinjen Rusia juga ada melakukan salah laku yang sama. Sepanyol mendapat tempat ke-3 dalam kejohanan paralimpik tahun 2000 di belakang Australia dan Great Britain.
Sehingga ke hari ini sukan paralimpik masih berhadapan dengan cabaran untuk memastikan atlet bertanding benar-benar layak.