Skandal ‘Match Fixing’, BAM Kecewa Dengan Tindakan BWF

Malaysia digemparkan dengan skandal mengatur perlawanan melibatkan 2 pemain badminton negara seperti yang dilaporkan beberapa minggu lalu.

2 pemain Malaysia iaitu, bekas juara remaja dunia, Zulfadzli Zulkiffli dan juga Tan Chun Seang kini menghadiri proses sebutan kes di Singapura.

Namun begitu, BWF telah melarang pegawai dari Malaysia untuk hadir ke sesi pendengaran kes tersebut untuk hari kedua. Sebelum ini, wakil BAM hadir dalam sesi pertama.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria menyatakan pendirian pihak mereka. BAM kecewa dengan larangan tersebut yang dianggap tidak masuk akal.

BAM akan menghantar surat bantahan ke atas tindakan BWF dan meminta agar pegawai mereka, Jadadish agar dibenarkan menghadiri sesi tersebut. Norza berkata kepada wartawan:

“Kami kecewa dan terkejut dengan tindakan BWF yang melarang Jadadish hadir ke sesi tersebut. Pengerusi panel bebas menuduh Jadadish membocorkan informasi daripada sesi pendengaran kes itu kepada media.”

“Pertama sekali, kami sentiasa menghormati sebarang prosedur dan dalam proses siasatan BWF. Jadadish hanya memberitahu media berdasarkan kapasiti beliau sebagai pemerhati dan tidak lebih daripada itu.”

“Kami sentiasa di belakang BWF dan menghantar Jadadish sebagai pemerhati adalah salah satu langkah kami mahu membantu dunia badminton dalam menangani masalah mengatur perlawanan dalam sukan badminton.”

“Anda harus ingat yang 2 saspek itu adalah dari Malaysia.”

“Kehadiran Jadadish dalam sesi itu sangat penting. Seperti yang saya katakan sebelum ini, dia akan kembali dan memberikan taklimat tentang undang-undang hasil daripada apa yang beliau dengar.”

“Kami semua tak gembira dengan tindakan BWF. Saya sudah memberitahu Datuk Ng Chin Chai, setiausaha BAM dan pengurus besar BAM, Michelle Chai agar segera menghantar surat bantahan.”

Pada hari pertama sesi pendengaran kes tersebut, peguam kepada 2 pemain tersebut dikatakan tidak senang dengan Jadadish yang berkongsi beberapa perkara dengan media tentang apa yang berlaku di dalam mahkamah.

BAM sebelum ini menyatakan kes ini sebagai satu tamparan hebat kepada badminton Malaysia dan ia telah mengaibkan nama negara di pentas dunia.

BAM juga tidak akan berkompromi kepada mana-mana pesalah skandal mengatur perlawanan. BWF melancarkan intipan dan siasatan kepada beberapa pemain termasuk Zulfadzli Zulkiffli.

BWF sudah memulakan siasatan dan memantau aktiviti beberapa pemain ini sejak setahun yang lalu iaitu pada Februari 2017.

Sindiket yang menjadi dalang kepada pengaturan perlawanan ini telah cuba mendapatkan nombor telefon seberapa ramai pemain badminton. Mereka menghubungi pemain dengan teks menerusi aplikasi WhatsApp.

Tahun lalu BWF sudah memanggil beberapa pemain yang disyaki terlibat namun mereka dibebaskan kerana tiada bukti kukuh.

Kali ini BWF yakin mereka akan dapat menumpaskan sindiket ini setelah berjaya mengumpul bukti-bukti yang yang lebih kukuh. Skandal mengatur perlawanan ini turut berlaku dalam kejohanan berprofil tinggi.

Pada 2017, pemain Denmark, Hans-Kristian Vittinghus dan Kim Astrup dihampiri oleh seseorang yang mahu mengatur perlawanan pada Terbuka Jepun 2014.

Namun mereka menolak tawaran kotor itu. Vittinghus kemudian melaporkan hal itu kepada BWF.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.