Skandal Atur Perlawanan, BAM Sahkan 2 Pemain Badminton Malaysia Disiasat Dan Sedang Digantung

Kesatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan bukan seorang tetapi ada 2 pemain badminton Malaysia yang disyaki terlibat dalam skandal mengatur perlawanan. 2 pemain tersebut kini dalam siasatan oleh Badminton World Federation (BWF).

Pada Isnin lalu, dunia badminton terutama sekali di Malaysia telah dikejutkan dengan pembongkaran yang dahsyat di mana ada skandal mengatur perlawanan melibatkan beberapa pemain bebas dalam kejohanan besar termasuk kejohanan dunia dan seluruh England.

BAM mengesahkan 2 pemain Malaysia kini digantung sementara daripada semua pertandingan badminton kerana masih dalam siasatan. Siasatan itu akan dijalankan oleh badan badminton dunia tersebut.

Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria menjelaskan yang BAM dan 2 pemain tersebut sudah faham akan hal itu.

“Ya kami sahkan kita sekarang dalam perhatian, namun kes ini di bawah siasatan BWF. Kami juga boleh mengesahkan yang 2 pemain tersebut digantung buat sementara waktu daripada semua pertandingan badmniton.”

“Ini sudah pastinya tamparan hebat kepada reputasi badminton Malaysia. Dan saya ingin menegaskan pendirian BAM amat tegas dalam isu ini, di mana kami tidak akan bertolak ansur kepada mana-mana skandal mengatur perlawanan dan perjudian.”

BAM menyatakan pihak mereka tidak boleh mendedahkan 2 nama tersebut dalam tempoh siasatan dilakukan kerana ia adalah sulit dan persendirian.

Berdasarkan laporan oleh Badminton Planet, pihak BWF sudah memulakan siasatan dan memantau aktiviti beberapa pemain ini sejak setahun yang lalu iaitu pada Februari 2017.

Sindiket yang menjadi dalang kepada pengaturan perlawanan ini telah cuba mendapatkan nombor telefon seberapa ramai pemain badminton. Mereka menghubungi pemain dengan teks menerusi aplikasi WhatsApp.

Tahun lalu BWF sudah memanggil beberapa pemain yang disyaki terlibat namun mereka dibebaskan kerana tiada bukti kukuh.

Kali ini BWF yakin mereka akan dapat menumpaskan sindiket ini setelah berjaya mengumpul bukti-bukti yang yang lebih kukuh.

Semalam laman facebook Chromax telah memuat naik status menyatakan salah seorang daripada pemain Malaysia yang terlibat adalah Zulfadzli Zulkifli.

Gaya hidup Zulfadzli yang mewah meskipun tidak menjuarai kejuaraan besar ataupun sumber pendapatan lain yang besar membuatkan BWF meragui perkara itu.

Zulfadzli dikatakan hidup dengan cara hidup mewah dan memiliki sebuah kereta mewah Marcedez Benz. Chromax juga melaporkan yang tahun lalu, pemain Denmark, Hans-Kristian Vittinghus dan Kim Astrup dihampiri oleh seseorang yang mahu mengatur perlawanan pada Terbuka Jepun 2014.

Namun mereka menolak dan hal itu telah dilaporkan oleh Vittinghus kepada BWF. Dikatakan, orang yang sama telah menghubungi 2 pemain badminton Malaysia yang terlibat.

Namun berita ini masih belum disahkan oleh BWF, sama-samalah kita tunggu laporan rasmi oleh BWF. Pesalah yang terlibat dalam skandal mengatur perlawanan akan berhadapan hukuman berat termasuk gantung seumur hidup daripada sebarang aktiviti badminton.

SUMBER

1. Chromax

2. Badminton Planet

3. NST

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.