Sir Alex Ferguson Menamakan Empat Bintang Premier League Yang Paling Beliau Kagumi

Sir Alex Ferguson mengakui bahawa bintang Tottenham Hotspur, Harry Kane dan legenda Manchester City, Sergio Aguero merupakan dua pemain premier league yang paling beliau impikan untuk memilikinya.

Legenda bola sepak Inggeris yang ketika ini berusia 79 tahun itu telah menikmati karier yang cukup gemilang selama 26 tahun bersama Manchester United.

Ferguson berjaya membimbing setan merah untuk memenangi 13 kali kejuaraan Premier League, lima FA Cup, empat League Cup dan dua kejuaraan Liga Juara-Juara.

Nama Sir Alex Ferguson ketika ini sedang hangat diperkatakan dek kerana terbitnya siri dokumentari beliau yang berjudul: Never Give In.

Bercakap kepada legenda United, Gary Neville dalam satu temu bual bersama SPORTbible, Ferguson telah menamakan Aguero dan Kane sebagai pemain yang sangat beliau mahukan ketika kariernya yang gemilang dahulu.

Pengurus terhebat sepanjang zaman itu kemudiannya mendedahkan dua lagi nama pemain yang beliau kagumi dalam saingan premier league dengan menamakan Dele Alli dan Son Heung Min sebagai pilihannya.

Ferguson dalam temu tersebut telah menyatakan:

“Kane yang pertama, dan saya rasa Alli akan menjadi pemain bintang. Saya mesti mengakuinya, saya tak tahu apa yang berlaku di sana.”

“Kane dan Son yang bermain bersama Tottenham merupakan pemain yang sangat menakjubkan.”

“Aguero pula merupakan penyerang yang sungguh mengagumkan, tidak diragukan tentang itu. Rekod jaringan dia sungguh luar biasa menakjubkan.”

“Pasukan terbaik sememangnya akan menghasilkan pemain yang boleh menonjol.”

Aguero sepertinya bakal mengakhiri kariernya yang gemilang bersama City pada penghujung musim ini dengan beliau sudah bersetuju untuk menyertai Barcelona.

Nama bintang Argentina yang ketika ini berusia 32 tahun itu bakal tertulis dalam buku sejarah City sebagai legenda terhebat dan penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab.

Sementara itu Kane pula telah dikaitkan dengan kedua-dua United dan City selepas beliau mendedahkan hasratnya untuk meninggalkan Spurs pada penghujung musim nanti.

Ferguson turut mendedahkan kepada SPORTbible tentang penyesalan beliau tidak menggunakan Park Ji Sung untuk mengawal Messi ketika aksi perlawanan akhir Champions League bertemu Barca pada tahun 2011.

Siri dokumentari, Sir Alex Ferguson: Never Give In akan disiarkan di pawagam seluruh UK pada 27 Mei nanti.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.