Sikap Terpuji Rashford Tidak Pentingkan Diri Beri Penalti Kepada Martial Amat Dikagumi

Owen Hargreaves percaya Marcus Rashford akan bergelar kapten Manchester United pada satu hari nanti selepas menampilkan kualiti kepimpinan di dalam padang ketika berhadapan RB Leipzig di pertandingan UEFA Champions league pada awal pagi tadi.

Rashford memerlukan hanya 20 minit untuk menjaringkan hatrik untuk membantu United menewaskan semi-finalist musim lalu, Leipzig dengan jaringan 5-0.

Namun demikian pada ketika beliau diberikan peluang untuk melengkapkan hatrik ketika United diberikan sepakan penalti pada kedudukan 3-0.

Rashford sebaliknya menolak peluang tersebut dan memberikannya kepada Martial utuk mengambil sepakan.

Gol melalui sepakan penalti itu bukan sahaja menjadi jaringan pertama Martial pada musim ini. Lebih menarik, Rashford kemudiannya turut berjaya melengkapkan hatrik pada minit ke-92 perlawanan.

Mengulas tindakan Rashford untuk menyerahkan bola kepada Martial untuk menyempurnakan penalti, bekas pemain yang juga pengulas BT Sport, Owen Hargreavez berkata:

“Saya sukakan itu – dia terlebih dahulu mengutamakan rakan sepasukannya. Marcus tahu dia tetap akan menjaringkan gol. Saya sukakan tindakannya.

“Itu adalah contoh rakan sepasukan yang hebat. Kerana itulah satu hari nanti beliau akan diangkat menjadi kapten, kerana beliau memikirkan pemain lain juga.”

Rio Ferdinand pula pada mulanya berpendapat sebaliknya mengenai tindakan Rashford, dan mengambil Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo sebagai perbandingan.

“Messi dan Ronaldo tidak akan memberikan penalti kepada orang lain,” kata bekas kapten United itu yang berpendapat Rashford sepatutnya lebih tamak untuk menjadi pemain yang hebat.

Namun di sebalik kata-kata itu, Ferdinand akhirnya berlembut dan turut bersetuju bahawa Rashford adalah seorang pemain uang sentiasa mahu memperbaiki dirinya untuk menjadi pemain yang lebih hebat pada masa hadapan.

Trevor Sinclair turut mempunyai pendapat yang sama dengan Hargreaves. Beliau yakin Rashford boleh menjadi pemain contoh di kelab tersebut, dan semangat seperti yang dimiliki oleh pemain itulah yang mampu mendorong pemain lain.

“Saya jarang melihat kepada pemain penyerang dan berpendapat mereka layak menjadi kapten,” kata Simclair kepada talkSport.

“Anda melihat pemain seperti Alan Shearer dan beliau menjadi kapten di Newcastle. Saya tahu beliau lebih vokal dan berpengalaman. Tetapi saya melihat Rashford juga mempunyai semangat yang sama untuk berjaya dan kualiti itu turut akan mendorong pemain lain dalam pasukan.

“Mungkin satu hari nanti Ole Gunnar Solksjaer boleh memberikan beliau lilitan kapten pada ketika kapten sedia ada tidak boleh beraksi.

“Beliau menampilkan contoh melalui tindakannya. Sejak beberapa bulan lalu saya sudah berkata Rashford adalah salah seorang pemain yang harus kita perhatikan , dan kini kita bersetuju beliau berpotensi bergelar kapten Manchester United satu hari nanti.

“Beliau melakukan banyak pekerjaan dengan makanan percuma untuk kanak-kanak di Mancheter sepanjang tempoh penularan wabak global. Beliau kemudiannya turut diberikan anugerah.

Hari ini beliau memberi makan untuk 2.8 juta kanak-kanak setiap minggu. Itu sahaja cukup membuktikan karakter luar biasa yang beliau miliki.”

Marcus Rashford dianugerahkan Anggota Empayar Britain (MBE) oleh ratu Inggeris sempena ulangtahun ratu.

Marcus Rashford diberikan darjah kebesaran MBE sebagai menghargai perjuangannya untuk memastikan 1.3 juta kanak-kanak di Britain berhak mendapat baucar makan percuma pada cuti musim panas di tengah wabak dunia yang sedang melanda.

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp melabel apa yang dilakukan Rashford sebagai luar biasa.

“Saya tak mampu nak menyatakan betapa hormatnya saya kepada apa yang dilakukan Marcus Rashford. Ianya sukar dipercayai.”

“Agak memalukan kerana dia harus melakukan perkara seperti itu, kerana benda seperti itu sepatutnya terjadi secara semulajadi.”

“Namun ada sesuatu harus dilakukan, dan dia menjalankan tugasnya dengan cara yang sangat luar biasa. Apa yang dia lakukan ketika ketika krisis sememangnya hebat sekali,” tegas Klopp.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.