Siapakah Penjaga Gol Terakhir Yang Menyelamatkan Sepakan Penalti Bruno Fernandes?

Siapakah penjaga gol terakhir yang pernah menyelamatkan sepakan penalti dari Bruno Fernandes?

Jawapannya adalah penjaga gol Loures berusia 25 tahun, Miguel Soares. Dan Soares menyelamatkan sepakan penalti pemain tengah itu dalam perlawanan menentang Sporting Lisbon pada Oktober 2018 – iaitu dua tahun yang lalu!

Dalam perlawanan pada malam tadi, Bruno Fernandes sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring – sekali lagi dari sepakan penalti – ketika kunjungan ke Amex Stadium menentang Brighton.

Sepakan penalti pada minit ke-100 tersebut – secara praktikal perlawanan telah ditamatkan sehingga campur tangan VAR – adalah jaringan ke-13 Bruno Fernandes sejak menyertai Manchester United pada Januari lalu.

Rekod penalti Bruno Fernandes

Dari 13 gol tersebut, enam daripadanya dihasilkan dari sepakan penalti. Dan sejak Oktober 2018, Fernandes telah menyempurnakan 18 sepakan penalti tanpa gagal.

Manakala untuk rekod keseluruhan sepanjang karier, Fernandes telah menjaringkan 26 penalti dari 28 kesemuanya yang diambil. Raja Penalti? Mungkin.

Rahsia nafikan Raja Penalti

Bruno Fernandes mungkin adalah Raja Penalti. Namun Miguel Soares tidak lokek untuk berkongsi kaedah untuk menyelamatkan sepakan penalti pemain tengah Portugal itu berdasarkan pengalamannya.

“Kejayaan menyelamatkan sepakan itu adalah momen yang membanggakan. Rahsianya ialah gerakan kecil yang saya lakukan ke sebelah kiri,”dedah Soares.

“Saya [bertujuan] bertindak demikian untuk Bruno membuat keputusan selewat yang boleh untuk mengarahkan sepakan. Saya tidak mahu dia mengambil sepakan itu dengan mudah.

“Kami memaksa Sporting ke masa tambahan, dan membuatkan mereka takut sebelum mereka menang 2-1.”

Sindiran Mourinho

Tidak semua pihak melihat kepakaran Bruno Fernandes menyempurnakan sepakan penalti sebagai satu kemampuan yang hebat.

Jose Mourinho dengan sarkastiknya menyindir rakan senegaranya itu.

Bercakap kepada media di Portugal, Sport Witness, Mourinho berkata: “Bruno tiba [di Man United] sebagai pemain yang sangat cergas, telah beraksi dengan baik, dan menambah baik pasukan United, dan dia membuktikan dirinya sebagai salah seorang pengambil sepakan penalti terbaik dunia. Ini kerana dia berpeluang untuk menyempurnakan sehingga 20 penalti.”

[Petikan di atas, sila baca dengan nada Mourinho]

Tidak terasa komen negatif

Dalam satu temubual berasingan baru-baru ini, Fernandes telah ditanya mengenai komen dari Mourinho itu terhadap dirinya.

“Jujurnya saya tidak terasa pun. Malah saya berpendapat saya memang hebat dalam menyempurnakan sepakan penalti dan ianya tidak lebih dari itu,” kata Fernandes kepada A Bola.

“Saya faham [sindiran Mourinho], tetapi saya mengambil kata-kata itu dengan baik kerana saya seorang yang sangat positif, dan beliau berkata saya menyempurnakan penalti dengan baik.

“Itu adalah realiti. Sekurang-kurangnya saya tidak pernah gagal menyempurnakan penalti sejak tiba di Manchester United. Tidak satu pun yang gagal setakat ini, dan saya berharap saya tidak akan gagal juga selepas ini.

“Saya hanya pernah terlepas dua penalti, satu ketika bersama Udinese menentang Napoli dan satu lagi dalam perlawanan Piala Portugal menentang Loures.”

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.