Seri A 2019/20: Napoli 2 Juventus 1

Aksi Serie A ke-21 musim ini adalah menemukan Napoli dengan Juventus yang dibimbing bekas pengurus mereka, Maurizio Sarri,

Aksi tumpuan ini pastinya menarik perhatian ramai kerana Napoli dilihat mampu untuk mencicirkan mata Juventus.

Juventus turun dengan harapan akan dapat menjarakkan lagi jurang mata mereka lebih jauh daripada pasukan Inter Milan.

Kelmarin, skuad bimbingan Antonio Conte diikat oleh Cagliari dalam debut Ashley Young. Di mana bekas kapten United itu menyumbang assist dalam debutnya.

Juventus turun ke San Paolo dengan 3 mata di atas Inter Milan. Jika menang mereka akan menjarakkan jurang mata kepada enam mata dengan jumlah perlawanan yang sama.

Sarri dibenci

Maurizio Sarri akhirnya bertandang ke San Paolo selepas meninggalkan pasukan itu pada 2018. Beliau disambut dengan ejekan dan boo daripada ultras dan penyokong Napoli yang menganggap beliau sebagai pengkhianat.

Sarri meninggalkan Napoli pada 2018 dengan rekod pungutan mata paling tinggi dalam sejarah mereka di Serie A. Dan beliau adalah individu yang telah menyemai semangat perseteruan dan kebencian dengan Juventus.

Juventus bergelut

Di atas padang, Juventus tidak begitu bermaya. Mereka tidak mampu mendominasi perlawanan ini dan gagal mencipta peluang gol yang lebih baik.

Sebaliknya pasukan tuan rumah di hadapan menerusi gol pada minit ke-63. Ianya selepas Napoli beberapa kali menyerang ke arah kubu Juventus.

Piotr Zielinski berada di dalam kotak penalti pada masa dan kedudukan yang tepat ketika Wojciech Szczesny menepis lemah bola, yang terus tepat di hadapannya.

Zielinski tidak mempersiakan peluang terhidang di depan mata untuk menjadikan kedudukan 1-0.

Maurizio Sarri buntu untuk mencari cara bagi mengatasi Napoli sepanjang perlawanan ini. Gattuso pula lebih gembira melihat permainan anak buahnya di atas padang.

Napoli berjaya melakukan 15 percubaan ke arah gol Juventus sepanjang perlawanan ini, berbanding hanya lapan dilakukan oleh Juventus.

Ketika perlawanan menuju ke wisel penamat, Jose Callejon melakukan serangan dari kanan dan melakukan hantaran lambung yang kemas.

Ianya telah dirembat oleh Lorenzo Insigne dengan teknik volley yang menarik.

Konsentrasi pemain itu ketika cuba menyambar bola itu memang sangat bagus. Beliau memastikan bola tepat ke gawang gol.

Volley deras itu telah menewaskan Wojciech Szczesny buat kali kedua malam itu.

Cristiano Ronaldo kembali menghidupkan semula harapan Juventus dalam perlawanan ini menerusi gol lewat minit ke-90 perlawanan.

Ronaldo mencatatkan rekod unik dengan sudah mencetak gol dalam 8 perlawanan terakhir beliau.

Beliau kini sudah menjaringkan 16 gol daripaa 17 aksi Serie A. Secara keseluruhannya sudah menjaringkan 30 gol untuk kelab dan negaranya.

Gol itu terlalu lewat untuk membangkitkan Juventus. Dan Napoli menikmati kemenangan penuh bermakna mereka di hadapan penyokong sendiri, menewaskan pasukan  Maurizio Sarri yang mereka anggap pengkhianat.

Keputusan ini pastinya melegakan Antonio Conte yang sebelum ini keciciran mata berhadapan Cagliari.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.