Sergio Ramos Sekali Lagi Melakukan Aksi No Look Tackle

Dalam saingan Nations League minggu lalu, Sergio Ramos telah melakukan satu tackle yang sangat berkeyakinan tinggi di mana beliau melakukan kuisan hanya dengan menggunakan kaki belakangnya sahaja.

Ramos ketika itu berada dalam situasi hampir diayamkan oleh Ruben Vargas dan beliau hampir sahaja mendedahkan gawang Sepanyol untuk berada dalam keadaan yang cukup merbahaya.

Ruben Vargas pula ketika itu berjaya masuk ke dalam kotak penalti Sepanyol dan beliau berada dalam posisi tepat untuk menjaringkan gol, ketika itu beliau cuba untuk memperdaya Ramos dengan helahnya.

Perasaan Vargas yang gembira kerana merasakan beliau sudah berjaya melepasi Ramos bertukar kepada hampa kerana pertahanan Sepanyol itu telah melancarkan no look tackle yang tepat untuk menciduknya kembali.

Ianya merupakan satu teknik yang sukar untuk dilakukan sebenarnya, kerana untuk melakukan no look tackle, seseorang pemain itu memerlukan antisipasi dan agakan yang tepat supaya kaki menyentuh bola dan bukannya kaki pemain lawan.

Ramos berjaya melakukannya dengan sempurna dan ianya adalah teknik bertahan yang luar biasa hebat dilakukan olehnya.

Sergio Ramos berjaya menunjukkan aksi terbaiknya sepanjang perlawanan pada malam itu. Bukan sahaja ketika bertahan, malah beliau turut pamer aksi mantap ketika merencana serangan dari bawah.

Ramos memiliki kemampuan untuk menghantar bola jauh yang tepat dan boleh mencetuskan ancaman kepada pihak lawan.

Berikut merupakan rangkuman aksi peribadi Ramos ketika beraksi bersama skuad kebangsaan Sepanyol.

Dan pada malam semalam, Ramos sekali lagi berjaya melakukan teknik tackle yang sama dengan apa yang beliau lakukan ketika aksi dalam saingan Nations League minggu lalu.

Apa yang menariknya, kali ini Ramos berjaya melakukannya ketika beliau berhadapan dengan penggelecek terhebat di muka bumi ini, Lionel Messi.

Walau bagaimanapun, sebelum beliau berjaya melakukan aksi no look tackle itu, Ramos terlebih dahulu sudah menjadi mangsa gelecekan Messi dan mujur saja Courtois cemerlang menafikan percubaan dari pemenang enam kali gelaran Ballon d’or itu.

Ketika the Los Blancos sedang mendahului perlawanan dengan keputusan 3-1, Messi berjaya merencanakan satu serangan balas dan ketika itu beliau berdepan dengan Ramos.

Ramos pada awalnya kelihatan sudah tertewas selepas Messi menukar arah bola. Tetapi ternyata Ramos memberikan harapan palsu kepada Messi.

Ianya kerana Ramos dengan tiba-tiba menguis bola dengan menggunakan teknik no look tackle.

Tackle itu sangat penting dalam usaha Ramos untuk mematikan ancaman lebih awal sebelum masuk ke zon pertahanan paling belakang.

Ramos berjaya menjaringkan gol dalam perlawanan El Clasico semalam menerusi satu sepakan penalti, selepas beliau dijatuhkan oleh Lenglet dalam kotak penalti Barca.

Jaringan penalti tersebut merupakan penalti ke 25 yang berjaya dijaringkan oleh Sergio Ramos secara berturut-turut.

Selain itu, dengan jaringan tersebut, Sergio Ramos juga telah mencatatkan rekod jaringan lebih banyak dari Figo, Xavi dan Zidane dalam saingan La Liga walaupun beliau hanyalah seorang pemain pertahanan.

Gol tersebut juga merupakan gol ke-100 untuk Sergio Ramos bersama Real Madrid dalam semua pertandingan sepanjang kariernya.

Jaringan tersebut juga merupakan jaringan ke-14 beliau dalam saingan La Liga sejak bermulanya musim lalu dan ianya adalah catatan terbanyak dari semua pemain pertahanan.

Sergio Ramos secara peribadinya telah berjaya menjaringkan lima gol dalam semua perlawanan El Clasico yang beliau sertai dan ianya telah berjaya menyamai rekod Ronald Koeman sebagai pertahanan yang menjaringkan gol terbanyak dalam perlawanan El Clasico.

Perlawanan semalam juga merupakan penampilan ke-31 Ramos dalam pertemuan El Clasico dan beliau merupakan satu dari tiga pemain yang telah membuat penampilan terbanyak dalam El Clasico bersama Raul Gonzalez dan Gento.

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.