Senarai Sebab Messi Meluat Untuk Kekal Bersama Barcelona

Lionel Messi dikhabarkan mahu meninggal Barcelona. Situasi semasa kelihatan tidak menentu di Nou Camp sejak Barcelona dibelasah 8-2 dan disingkirkan dengan cara yang memalukan dari pertandingan Champions League tempoh hari.

Kapten Argentina itu turut dikatakan sudah bertemu dengan pengurus baharu, Ronald Koeman untuk menyatakan rasa hati yang sudah tawar kekal bersama Barcelona.

Apakah yang membuatkan Messi seperti meluat dengan Barcelona yang selama ini telah banyak berjasa menaikkan namanya sebagai bintang bola sepak dunia? Ikuti kupasan kami.

1. Barcelona gagal bawa Neymar pulang

Neymar meninggalkan Barcelona pada 2017 selepas membentuk gandingan jitu bersama Lionel Messi dan Luis Suarez dengan nilai rekod dunia.

Walaupun pada mulanya berkata enggan berada di bawah bayangan Messi, Neymar mengakui pemergian ke Paris Saint-Germain (PSG) adalah keputusan kurang tepat.

Messi dilaporkan memujuk dan dijanjikan pengurusan tertinggi Barcelona untuk membawa pulang Neymar. Namun janji tinggal janji. Kegagalan membawa pulang Neymar mengecewakan Messi.

2. Pembelian Antoine Griezmann

Walaupun menggunakan alasan kewangan sebagai punca tidak mampu membawa Neymar kembali, Barcelona tetap meneruskan membawa masuk Antoine Griezmann daripada Atletico Madrid.

Griezmann bukan pemain digemari Messi dengan perkhabaran ketegangan berlaku diantara kedua-dua pemain. Debut musim pertama pemain Perancis itu di Nou Camp juga mengecewakan.

Justeru Messi semakin tidak tenteram jiwa kerana percaya Barcelona sepatutnya membawa pulang Neymar dan bukan membeli Griezmann sebagai pengganti.

3. Pemecatan Ernesto Valverde

Salah satu perkara kontroversi yang berlaku pada musim 2019/20 ialah pemecatan pengurus pasukan, Ernesto Valverde.

Valverde dipecat dan digantikan dengan Quique Setien yang dianggap kurang berpengalaman jika dibandingkan dengan Valverde.

Rakan sepasukan Arturo Vidal pernah mendedahkan pemain bingung dengan taktikal yang dibawa oleh Setien.

Messi sebenarnya mempunyai hubungan yang baik dengan pengurus itu, dan Valverde sempat membantu Barcelona menjuarai dua kejuaraan LaLiga bersama Messi.

4. Perselisihan terbuka dengan Eric Abidal

Lionel Messi mengkritik pengarah sukan Barcelona, Eric Abidal kerana mengatakan pemain-pemain tidak berusaha keras semasa di bawah kendalian bekas jurulatih Ernesto Valverde.

Abidal yang juga bekas rakan sepasukan Messi telah mengeluarkan komen tersebut ketika ditemubual oleh akhbar tempatan, Diario Sport.

Namun Messi ternyata kecewa dan tidak berpuas hati lalu membalas kenyataan tersebut dengan ‘menembak’ semula Abidal melalui laman Instagramnya.

Dalam akaun Instagram yang jelas memberitahu Abidal supaya bersikap bertanggungjawab di atas keputusan yang dibuat [memecat Valverde] dan tidak menuding jari kepada pemain.

5. Muak sikap pengurusan tertinggi

Walaupun Abidal sudah dipecat sebagai pengurus sukan kelab, Messi sebenarnya turut muak dengan sikap pengurusan kelab yang gemar berpolitik dan menyalahkan pemain.

Pengurusan tertinggi Barcelona diketuai oleh presidennya, Josep Maria Bartomeu dikatakan gagal melakukan pengurusan kewangan yang baik khususnya ketika kebanyakkan kelab dilanda masalah kewangan ekoran pandemik global yang melanda.

Malah Messi dan pemain Barcelona turut pernah dituduh enggan bekerjasama mengenai pemotongan gaji sebanyak 70% yang dicadangkan oleh kelab, selain komen Bartomeu yang seolah-olah menyalahkan gaji pemain yang tinggi sebagai punca masalah kewangan.

Penutup

Messi masih mempunyai kontrak selama semusim. Pada ketika ini Barcelona enggan memberikan sebarang komen mengenai pertemuan diantara Koeman dan Messi, dan berkata projek di bawah kendalian Koeman akan ditunjangi oleh Messi.

Bartomeu sebelum ini berkata Messi adalah salah seorang pemain yang kelab itu mahu kekalkan, walaupun mengakui beberapa pemain lain dijangka akan meninggalkan kelab itu pada jendela perpindahan kali ini.

Manchester City dilaporkan sedang memantau rapat perkembangan Messi di Nou Camp.

 

 

Dapatkan berita terkini di Telegram kami. Klik butang di bawah.